KUALA LUMPUR: Bermula sebagai peminat setia yang tidak pernah melepaskan peluang mengikuti pertandingan Eurovision Song Contest (ESC), penyanyi Aina Abdul kini melangkah ke pentas berprestij itu dengan misi lebih besar apabila diberi peluang mewakili Malaysia dalam edisi sulung Eurovision Song Contest Asia 2026.
Memetik laporan Berita Harian, Malah, Aina mengakui peluang itu ibarat impian yang menjadi kenyataan memandangkan minatnya terhadap pertandingan berkenaan sudah berputik sejak penyanyi legenda, Celine Dion, membuat persembahan di pentas Eurovision.
Apabila mengetahui pertandingan itu bakal diperluaskan ke Asia, Aina tanpa berfikir panjang menyuarakan hasrat kepada pasukannya untuk turut serta.
“Apabila mendapat tahu Eurovision akhirnya datang ke Asia, saya terus memberitahu pasukan bahawa saya mahu membuat persembahan.
“Saya sangat gembira kerana impian itu menjadi kenyataan dan saya berpeluang mewakili negara sendiri,” katanya dalam kenyataan.
Malam ini, Aina bakal berentap dengan wakil 10 negara lain iaitu Vietnam, Kemboja, Laos, Mongolia, Bhutan, Filipina, Bangladesh, Thailand, Korea Selatan dan Nepal pada pertandingan yang berlangsung di One Bangkok Forum, Bangkok, Thailand. Dia dijadualkan membuat persembahan terakhir.
Sebagai penyiar rasmi Malaysia, TV3 akan membawakan siaran langsung pertandingan itu kepada penonton seluruh negara menerusi saluran berkenaan dan platform penstriman Tonton bermula jam 9.30 malam.
Sejak berangkat ke Bangkok pada 9 November lalu, Aina giat menjalani persiapan merangkumi latihan vokal, sesi uji bunyi serta persediaan teknikal bagi memastikan setiap aspek persembahannya berjalan lancar.
Menariknya, persiapan kali ini turut mendapat bimbingan guru vokal terkenal, Datuk Syafinaz Selamat yang membantu memantau aspek vokal dan kecergasan fizikalnya.
Membawa pertaruhan menerusi lagu Bluest Sky, ciptaan Aina sendiri dengan susunan muzik oleh Mac Chew, karya berkenaan mendapat inspirasi daripada kucing kesayangannya, Hiro.
Lagu berentak power ballad itu turut menggabungkan elemen muzik Nusantara menerusi penggunaan instrumen tradisional seperti gambus dan seruling, sekali gus memperlihatkan identiti muzik tempatan yang mahu diketengahkan di pentas antarabangsa.
Dari segi penampilan, Aina bakal menyarungkan busana rekaan pereka fesyen, Melinda Looi, yang disesuaikan dengan konsep persembahannya.
Walaupun tidak mendedahkan keseluruhan kejutan yang dirancang, Aina memberi bayangan persembahannya akan menampilkan elemen visual membabitkan cecair serta sesuatu yang berkilauan.
Bagaimanapun, perjalanan persiapan tidak sepenuhnya berjalan lancar apabila prop persembahannya mengalami masalah ketika sesi uji bunyi kedua terakhir sehingga menyebabkan dia terperangkap seketika di dalamnya.
Namun, Aina tidak menganggap insiden itu sebagai sesuatu yang membimbangkan, sebaliknya melihatnya sebagai sebahagian daripada proses persiapan sebelum pertandingan sebenar.
“Bagi saya, itu membawa tuah kerana setiap kali menyertai Anugerah Juara Lagu (AJL), biasanya ada sesuatu yang berlaku ketika sesi latihan atau uji bunyi.
“Lebih baik perkara itu berlaku sekarang daripada pada hari pertandingan sebenar,” katanya.
Dengan segala persiapan yang dilakukan, Aina kini bersedia memberikan persembahan terbaik demi mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa.
Penonton juga berpeluang mengikuti perkembangan eksklusif Aina menjelang pertandingan menerusi program Melodi Exclusive yang bersiaran di TV3 bermula jam 9.15 malam hingga 9.30 malam. – BH ONline –
IMedikelTV






