Oleh: Wartawan IMedikel TV
PENANG: Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret Butterworth, semalam, atas pertuduhan membunuh seorang pemandu teksi warga emas, bulan lalu.
Tertuduh, S Ganesan, 41, hanya mengangguk selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Aini Adilah Muhammad Faizal.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh berikutan kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa membunuh Haron Chua Abdullah, 73, dalam perjalanan dari Jalan Tun Hamdan Sheikh Tahir ke Jalan Permatang Pak Elong, Kepala Batas, antara jam 2 pagi hingga 4 pagi pada 8 Oktober lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta sebatan tidak kurang daripada 12 kali, jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Lim Zhan Yi, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah tidak membenarkan jaminan terhadap tertuduh dan menetapkan 18 Disember depan untuk sebutan semula kes bagi menunggu laporan bedah siasat serta laporan kimia.
Pada 11 Oktober lalu, media melaporkan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) membantu mengeluarkan mayat seorang lelaki yang ketika itu belum dikenal pasti dari dalam longkang berhampiran Surau Permatang Pak Elong, Kepala Batas.
Difahamkan, kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan berkaitan tambang teksi dari Butterworth ke Kepala Batas.
Dalam prosiding berasingan di mahkamah sama, seorang lelaki Rohingya, Ajimul Khan Shafiullah, 41, mengaku bersalah menggunakan MyKad milik Ganesan tanpa kebenaran sah bagi mendaftarkan akaun e-dompet Touch ‘n Go di Jalan Bertam 2, Kepala Batas, pada jam 4.09 petang, 3 November lalu.
Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Peraturan 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang membawa hukuman maksimum penjara tiga tahun atau denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Lim memohon mahkamah menjatuhkan hukuman yang setimpal terhadap tertuduh.
Bagaimanapun, peguam Ahmad Faris Khairudin yang mewakili Ajimul memohon hukuman minimum dengan mengambil kira pengakuan bersalah anak guamnya yang menjimatkan masa dan kos semua pihak.
Menurutnya, anak guamnya turut memohon maaf kepada mahkamah dan negara kerana tidak mengetahui mengenai peraturan berkenaan.
“Anak guam saya menggunakan khidmat ejen untuk mendaftarkan akaun itu dan tidak mengenali Ganesan.
“Dalam kes ini, pemilik kad pengenalan juga tidak mengalami sebarang kerugian,” katanya.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM3,500 terhadap Ajimul atau penjara lima bulan jika gagal membayar denda itu.
IMedikel TV






