Home Buletin Semasa HOSPITAL PASIR GUDANG BARU 56 PERATUS BEROPERASI – MB JOHOR

HOSPITAL PASIR GUDANG BARU 56 PERATUS BEROPERASI – MB JOHOR

Oleh: Wartawan IMedikel TV

JOHOR BAHRU: Kadar pengisian perjawatan Hospital Pasir Gudang (HPG) yang baharu mencapai 56 peratus menjadi cabaran utama dalam memastikan kemudahan kesihatan itu dapat beroperasi pada kapasiti optimum.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata setakat 6 November lalu, hanya 1,276 daripada keseluruhan 2,271 jawatan yang diperuntukkan di hospital berkenaan sudah diisi.

Lebih membimbangkan katanya, kadar pengisian bagi jawatan jururawat hanya 40 peratus, manakala pakar perubatan pula 39 peratus.

“Menjunjung titah Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail agar sektor kesihatan terus diperkukuh demi kesejahteraan Bangsa Johor.

“Syukur Alhamdulillah, saya berkesempatan meninjau perkembangan terkini pengoperasian hospital ini, termasuk kemajuan pembukaan wad, kesiapsiagaan fasiliti serta pengisian tenaga kerja bagi memastikan perkhidmatan kesihatan memenuhi keperluan rakyat, khususnya masyarakat di Pasir Gudang dan kawasan sekitarnya.

“Di Hospital Pasir Gudang, kapasiti keseluruhan adalah sebanyak 304 katil. Setakat 1 November 2026, sebanyak 239 katil telah mula beroperasi, bersamaan 79 peratus daripada kapasiti keseluruhan.

“Mengikut jadual pengoperasian, kapasiti ini disasarkan meningkat secara berperingkat sehingga mencapai 100 peratus atau kesemua 304 katil menjelang Mac 2027,”katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Menurut Onn Hafiz, pihaknya telah beberapa kali membangkitkan perkara ini, termasuk dalam pertemuan bersama Menteri Kesihatan bagi mempercepatkan pengisian jawatan di HPG.

Malah katanya dalam masa sama, Kerajaan Negeri turut mengambil pelbagai inisiatif bagi menyokong pengoperasian hospital.

“Ia termasuk menggerakkan Southern Volunteers (SV) Healthcare yang dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri bagi melancarkan operasi hospital, meringankan beban tugas serta menjaga kebajikan doktor, jururawat dan seluruh petugas kesihatan.

“Kerajaan Negeri Johor akan terus memperjuangkan keperluan tenaga kerja dan kebajikan petugas kesihatan agar ia dapat beroperasi pada kapasiti optimum.

“Semoga segala usaha ini dapat terus diperkasakan demi kebajikan petugas kesihatan dan perkhidmatan kesihatan terbaik buat Bangsa Johor. Insya-Allah,”katanya.

IMedikel TV 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here