Home Buletin Semasa 5,632 GURU COS LANTIKAN 2023 TERIMA TAWARAN JAWATAN TETAP, PENEMPATAN DISEMBER INI

5,632 GURU COS LANTIKAN 2023 TERIMA TAWARAN JAWATAN TETAP, PENEMPATAN DISEMBER INI

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KUALA LUMPUR: Seramai 5,632 daripada 5,840 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) Contract of Service (COS) lantikan 2023 telah menerima surat tawaran pelantikan tetap setakat 12 November lalu.

Kementerian Pendidikan (KPM) dalam kenyataan memaklumkan, seramai 29 pegawai lagi masih dalam tindakan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP), manakala 179 pegawai belum memenuhi syarat ditetapkan bagi pelantikan tetap.

“Antara syarat yang masih belum dipenuhi termasuk memperoleh kelayakan ikhtisas serta kelayakan CEFR C1 bagi PPP opsyen Bahasa Inggeris.

“Dalam perkembangan sama, SPP telah meluluskan penyambungan kontrak perkhidmatan kepada kesemua 5,840 PPP COS lantikan 2023 yang masih berkhidmat, berkuat kuasa sehari selepas tempoh kontrak asal masing-masing tamat.

“Langkah itu membolehkan semua pegawai terbabit meneruskan perkhidmatan dan menerima emolumen seperti biasa sementara menunggu urusan pelantikan tetap diselesaikan,” menurut KPM.

KPM turut menjelaskan bahawa Arahan Penempatan (AP) bagi PPP lantikan tetap masih belum dikeluarkan kepada mana-mana pegawai dan akan dibuat secara serentak pada Disember ini.

Sehubungan itu, tiada pegawai yang diberikan keutamaan berdasarkan negeri atau daerah bagi urusan penempatan berkenaan.

Menurut KPM, perbezaan penerimaan surat dalam kalangan pegawai ketika ini hanya melibatkan proses pengeluaran surat pelanjutan kontrak yang dilaksanakan secara berfasa dan tidak menjejaskan tawaran pelantikan tetap yang telah diterima.

“Semua pegawai turut diminta meneruskan tugas seperti biasa sementara menunggu pengeluaran AP,” menurut KPM.

KPM dalam masa sama menghargai dedikasi serta kesabaran guru COS lantikan 2023 dan memberi jaminan urusan penempatan tetap akan dimuktamadkan mengikut jadual ditetapkan.

IMedikel TV 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here