Oleh: Wartawan IMedikel TV
KUALA NERUS: Misi Kelantan untuk mempertahankan Kejuaraan 7 Sepasukan Kebangsaan (National 7s 2026) berdepan ujian awal apabila juara bertahan itu terpaksa menerima kekalahan 14-19 kepada Selangor dalam aksi pembukaan peringkat kumpulan yang bermula pada Jumaat(13 Nov 2026).
Keputusan itu menyaksikan Kelantan kehilangan rekod tanpa kalah yang menjadi antara kekuatan mereka ketika muncul juara pada edisi sebelumnya.
Selangor nyata tidak memberi ruang kepada lawan untuk menyesuaikan permainan apabila terus menghasilkan try dalam tempoh kurang seminit selepas sepak mula.
Conversion yang berjaya disempurnakan meletakkan Selangor di hadapan 7-0 sebelum Kelantan memperkemaskan permainan untuk mengikat kedudukan 7-7 menjelang tamat separuh masa pertama.
Namun, momentum Kelantan gagal dikekalkan selepas rehat apabila Selangor kembali mendahului 12-7 dalam separuh masa kedua.

Kelantan terus berusaha mencari ruang untuk mengubah keputusan perlawanan tetapi hanya mampu menambah tujuh mata sebelum wisel penamat mengesahkan kemenangan Selangor 19-14.
Kekalahan itu hadir selepas Kelantan memulakan kempen dengan kemenangan besar ke atas Pahang menerusi kutipan 31 mata.
Lebih menarik, Kelantan tidak mempunyai banyak masa untuk memperbaiki kedudukan apabila bakal berdepan Johor pada Sabtu dalam satu lagi aksi penting peringkat kumpulan.
Johor yang dilihat antara pencabar utama kejuaraan kali ini sudah menunjukkan kemampuan apabila menewaskan Pahang 43-0 dan Selangor 24-7.

Dalam perkembangan lain, Terengganu mengekalkan rekod tanpa kalah bagi kategori Terbuka Lelaki selepas terikat 14-14 dengan Kedah.
Skuad wanita tuan rumah pula meneruskan kempen dengan cukup bergaya apabila mencatat kemenangan 52-0 ke atas PDRM dan 43-0 ke atas Melaka.
Untuk rekod pada hari pertama kejuaraan ini sebanyak 34 perlawanan peringkat kumpulan telah berlangsung dan seterusnya bagi hari kedua dijadualkan untuk setiap pasukan menamatkan ke aksi peringkat kumpulan sebelum mara ke penentuan suku akhir pada hari yang sama.
Kejuaraan Ragbi 7 Sepasukan Kebangsaan(National 7s 2026) yang berlangsung selama 3 hari di Stadium Ragbi Tengku Muhammad Ismail, Kompleks Sukan Terengganu ini dijadualkan untuk melabuhkan tirai pada Ahad ini.
IMedikel TV






