Home Sukan DENDAM ROSSI TERHADAP MARQUEZ MASIH BELUM REDA

DENDAM ROSSI TERHADAP MARQUEZ MASIH BELUM REDA

ROM: Legenda MotoGP, Valentino Rossi mencetuskan perhatian menerusi kenyataan terbaharunya mengenai Marc Marquez apabila mendedahkan bahawa pernah timbul risiko anak perempuannya dilahirkan pada tarikh hari jadi pelumba Sepanyol itu.

Memetik laporan Agensi menerusi Berita Harian, Hubungan Rossi dan Marquez mula tegang selepas kontroversi pada penghujung musim 2015 apabila juara dunia MotoGP tujuh kali itu menuduh Marquez yang menunggang Honda ketika itu cuba menggagalkan peluangnya memburu gelaran dunia.

Hubungan kedua-duanya tidak pernah pulih, malah Rossi terus mempertahankan pandangannya mengenai insiden musim 2015 itu sepanjang tempoh sedekad lalu.

Ketika mempromosikan pelancaran autobiografi terbaharunya, Rossi awal minggu ini berkata kekalahan perebutan gelaran dunia pada 2015 itu masih menyakitkan hatinya, selain menyifatkan tindakan Marquez ketika itu sebagai sesuatu yang tidak masuk akal.

Perkembangan itu berlaku ketika Marquez semakin hampir meraih gelaran dunia MotoGP kelapannya, sekali gus mengatasi rekod Rossi dalam senarai juara dunia sepanjang zaman.

Dalam satu temu bual terbaharu bersama Radio Deejay, Rossi berseloroh bahawa beliau terpaksa meminta pasangannya menangguhkan kelahiran anak perempuan mereka, Giulietta, kerana bimbang bayi itu dilahirkan pada tarikh hari jadi Marquez, iaitu 17 Februari.

Giulietta akhirnya dilahirkan pada 4 Mac.

“Pada satu ketika, ada risiko Giulietta dilahirkan pada hari jadi Marquez.

“Saya memberitahunya, ‘Jangan buat hal; duduk diam, jangan bergerak. Kita perlu bertahan selama 24 jam’,” katanya.

Rossi kekal sebagai antara figura paling popular dalam MotoGP, namun kenyataannya sejak kebelakangan ini mengundang banyak kritikan di media sosial.

Sudah lima tahun Rossi bersara daripada MotoGP untuk memberi tumpuan sepenuhnya kepada perlumbaan kereta, manakala kemenangan perlumbaan terakhirnya dalam MotoGP adalah pada 2017 dan gelaran dunia terakhirnya pada 2009.

Ketika MotoGP terus mengembangkan jumlah peminatnya, serangan berterusan Rossi terhadap Marquez, terutama ketika pelumba Sepanyol itu berada di ambang mencipta pencapaian bersejarah, berisiko menenggelamkan kegemilangan kariernya sendiri. – AGENSI, BH Online –

IMedikelTV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here