Home Buletin Semasa WASPADA TAKTIK SAMUN MINTA DERMA DI STESEN MINYAK 

WASPADA TAKTIK SAMUN MINTA DERMA DI STESEN MINYAK 

Oleh: Wartawan IMedikel TV

PENANG: Polis mengingatkan orang ramai supaya lebih berwaspada terhadap individu tidak dikenali yang meminta sumbangan wang di tempat awam kerana helah itu dipercayai digunakan sebagai taktik untuk melakukan samun.

Ia susulan kejadian membabitkan seorang lelaki berusia 43 tahun yang cedera selepas dipercayai diserang menggunakan objek besi tajam sebelum barangan peribadinya dilarikan di susur masuk sebuah stesen minyak di Jalan Samagagah, di sini, kira-kira jam 11.30 pagi Selasa lalu.

Dalam insiden terbabit, mangsa dikatakan mengalami kerugian dianggarkan RM10,000.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Aminuddin Raja Abdullah berkata, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai dilakukan empat suspek terdiri daripada dua lelaki dan dua wanita yang disyaki warga asing dari Asia Tengah.

Beliau berkata, kumpulan itu dipercayai menggunakan modus operandi menghampiri orang awam di kawasan stesen minyak dengan alasan meminta sumbangan wang sebelum bertindak melakukan samun.

“Dalam kejadian berkenaan, suspek dipercayai bertindak agresif apabila menggunakan objek besi tajam sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan sebelum melarikan barangan peribadi miliknya.

“Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kerugian yang dianggarkan bernilai RM10,000,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Nik Aminuddin berkata, polis sedang giat mengesan semua suspek yang dipercayai terbabit dalam kejadian berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan semasa melakukan rompakan.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan individu yang meminta sumbangan dalam keadaan mencurigakan, khususnya di kawasan awam seperti stesen minyak.

“Jika berdepan situasi mencurigakan atau ancaman seumpama ini, orang ramai dinasihatkan supaya segera mendapatkan bantuan dan perlindungan di stesen minyak yang menjadi rakan strategik Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi program Go To Safety Point (GTSP).

“Selain itu, orang ramai juga boleh segera menghubungi Bilik Gerakan CCC Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di talian 04-222 1722 atau 04-269 1999 atau membuat laporan di balai polis berhampiran,” katanya.

Nik Aminuddin turut meminta pemilik dan pengusaha stesen minyak sentiasa peka terhadap kegiatan seumpama itu serta tidak teragak-agak melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan kepada polis bagi membolehkan tindakan segera diambil.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi pegawai penyiasat, Asisten Superintendan Marsila Hamzah di talian 019-472 5217atau tampil ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here