Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
SELANGOR: Seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal cedera parah selepas pergelangan tangan kanannya ditetak sehingga putus dalam kejadian serangan menggunakan senjata tajam di sebuah pangsapuri di Desa Amanpuri, Kepong, malam tadi.
Dalam kejadian itu, anggota berusia 26 tahun berkenaan kini dilaporkan stabil dan sedang menjalani pembedahan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, suspek yang dipercayai warga asing bertindak menyerang anggota polis menggunakan parang ketika cubaan tangkapan dilakukan.
“Bagi mempertahankan diri, anggota polis terpaksa melepaskan beberapa das tembakan ke arah suspek.
“Suspek kemudian dibawa ke Hospital Selayang untuk mendapatkan rawatan, namun disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital berkenaan,” katanya.
Terdahulu, polis menerima maklumat berhubung seorang lelaki dipercayai mengamuk di sebuah unit kediaman di pangsapuri terbabit.
“Ketika operasi menangkap suspek dijalankan, lelaki itu dipercayai meluru keluar sambil membawa parang sebelum menyerang anggota polis, anggota bomba serta petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang berada di lokasi,” katanya.
Shazeli berkata demikian ketika sidang media ringkas di Hospital Selayang, hari ini, berhubung kejadian berkenaan.
Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan insiden itu supaya menyalurkannya kepada pihak polis bagi membantu siasatan.
Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang andaian berhubung kejadian berkenaan sementara siasatan lanjut masih dijalankan.
IMedikel TV






