KAHERAH: Sekurang-kurangnya enam orang, termasuk seorang pakar bedah terbunuh, manakala 20 lagi cedera dalam serangan udara Israel ke atas bangunan di Hospital Nasser, Khan Younis, selatan Gaza, awal pagi hari ini.
Memetik laporan Reuters menerusi Berita Harian, jurucakap perkhidmatan pertahanan awam Gaza, Mahmoud Basal, berkata kepada Reuters, serangan itu menyasarkan jabatan pembedahan hospital berkenaan sehingga menyebabkan kerosakan besar.
Tiada kenyataan segera dikeluarkan oleh tentera Israel berhubung serangan itu.
Petugas perubatan mengenal pasti pakar bedah yang terbunuh sebagai Rezik Abushira.
Israel yang meningkatkan serangan ke atas wilayah itu mendakwa Hamas sedang berusaha menyusun semula kekuatan dan menambah bekalan senjatanya.
Bagaimanapun, Hamas menegaskan pihaknya komited terhadap perjanjian gencatan senjata yang dimeterai setahun lalu, selain menuduh Israel cuba menggagalkan perjanjian berkenaan.
Sekurang-kurangnya 1,600 rakyat Palestin terbunuh dalam serangan Israel di Gaza sejak perjanjian gencatan senjata itu dicapai, menurut pegawai kesihatan wilayah berkenaan.
Israel pula memaklumkan empat anggota tenteranya terbunuh dalam tempoh sama.
Pihak berkuasa Palestin berkata, lebih 74,000 orang terbunuh dalam serangan Israel ke atas Gaza.
Israel melancarkan serangan ketenteraan ke atas wilayah itu selepas pejuang diketuai Hamas membunuh kira-kira 1,200 orang di selatan Israel dalam serangan pada 7 Oktober 2023, berdasarkan angka yang dikeluarkan Israel. – REUTERS, BH Online –
IMedikel TV






