Home Sukan DVALISHVILI DAKWA DISERANG USMAN

DVALISHVILI DAKWA DISERANG USMAN

Abu Dhabi: Bekas juara kelas bantamweight UFC, Merab Dvalishvili mendakwa diserang Usman Nurmagomedov ketika tercetus pertelingkahan tegang di Abu Dhabi.

Memetik laporan Agensi menerusi Harian metro, Kedua-dua petarung itu berada di Abu Dhabi bagi menyertai acara RAF hujung minggu ini. Namun, sebelum perlawanan bermula, satu insiden pergaduhan membabitkan Dvalishvili dan pasukan Usman dilaporkan berlaku di sebuah hotel.

Dvalishvili terlebih dahulu memuat naik gambar dirinya bersama seorang rakan yang mengalami kecederaan di media sosial, sambil mendakwa mereka diserang Usman dan pasukannya.

“Ketika sedang ditemu bual untuk RAF di ruang lobi hotel, Usman dan rakan-rakannya datang dari belakang lalu mula menumbuk saya dan rakan saya. Pengawal keselamatan menahan saya, tetapi mereka terus menendang kami ketika kami sudah terjatuh,” kata Dvalishvili.

Selepas itu, bekas juara kelas lightweight UFC, Ilia Topuria turut berkongsi video yang memaparkan Usman dan pasukannya menyerang Dvalishvili bersama rakannya, sekali gus mengesahkan dakwaan berkenaan. 

Setakat ini, pasukan Usman masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung insiden itu. Bagaimanapun, berdasarkan video yang tersebar di media sosial, situasi ketika ini dilihat tidak memihak kepadanya.

Antara persoalan yang timbul ialah sama ada insiden itu akan menjejaskan peluang Usman menyertai UFC memandangkan dia kini berstatus ejen bebas.

Usman sememangnya dianggap petarung kelas lightweight yang hebat dalam sukan seni bela diri campuran (MMA). Namun, insiden terbaharu itu serta kontroversi membabitkan Song Yadong di UFC Shanghai pada musim panas lalu boleh menimbulkan masalah besar buatnya.

Tidak mustahil UFC, selaku organisasi MMA terkemuka dunia, memilih untuk tidak mengambil tindakan terhadap insiden berkenaan kerana pergaduhan antara Usman dan Dvalishvili itu tidak berlaku dalam acara anjurannya.

Namun, pada masa sama, UFC mungkin menganggap Usman membawa lebih banyak masalah berbanding manfaat, sekali gus memilih untuk tidak menawarkan kontrak kepadanya.

Keputusan UFC berhubung insiden itu masih belum diketahui. Bagaimanapun, Presiden UFC, Dana White dijangka berdepan pertanyaan media mengenai perkara berkenaan apabila beliau bertemu wartawan hujung minggu ini sempena UFC 334. – AGENSI, HMetro –

IMedikelTV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here