Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KUALA LUMPUR: Kerajaan memperuntukkan kira-kira RM15 juta sebulan bagi melaksanakan Mekanisme Kawalan Harga Minyak Masak (MKHMM) bagi memastikan kestabilan harga dan bekalan minyak masak sawit tulen dalam kemasan botol kepada pengguna.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, mekanisme itu membolehkan kerajaan mengekalkan harga siling minyak masak botol meskipun industri berdepan tekanan peningkatan kos susulan kenaikan harga minyak sawit mentah (CPO) dunia.
Beliau berkata, pelaksanaan MKHMM diluluskan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 6 November lalu, susulan syor Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
“Menerusi mekanisme itu, harga siling minyak masak sawit tulen dalam kemasan botol dikekalkan pada RM6.90 bagi satu kilogram (kg), RM13.30 (2kg), RM19.60 (3kg) dan RM30.90 (5kg) melalui peraturan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.
“Keputusan itu dibuat selepas mengambil kira trend peningkatan harga CPO dunia sejak Jun 2025 yang dijangka berterusan, sekali gus memberi tekanan kos kepada industri pengilangan untuk mematuhi harga siling ditetapkan.
“Malah, terdapat syarikat yang sudah menghentikan pengeluaran berikutan tekanan kos berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, berdasarkan harga purata CPO dunia pada Oktober 2026 sebanyak RM4,400 satu tan, harga minyak masak botol lima kilogram dianggarkan meningkat kepada RM34 sekiranya langkah intervensi itu tidak dilaksanakan.
Sehubungan itu, beliau berkata pelaksanaan MKHMM bertujuan mengekang gangguan bekalan serta kenaikan harga minyak masak botol yang boleh membebankan pengguna.
Katanya peruntukan berkenaan akan disalurkan dalam bentuk insentif khas bagi memastikan pembekalan minyak masak dalam kemasan botol dapat diteruskan pada harga siling ditetapkan.
Armizan berkata, langkah itu mencerminkan komitmen kerajaan untuk menangani kesan perubahan harga bekalan global, selaras dengan pendekatan intervensi yang turut dilaksanakan bagi bahan api petrol RON95 dan diesel.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata kerajaan turut mengambil perhatian terhadap kesukaran sebahagian pengusaha restoran mendapatkan pekerja sehingga memohon pertimbangan pengambilan pekerja asing.
Katanya, susulan pengumuman Perdana Menteri dan keputusan Jemaah Menteri pada Ogos lalu, Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) sedang memproses permohonan berdasarkan siling kuota sebanyak 15,000 pekerja asing yang diumumkan pada 5 Ogos 2026, tertakluk kepada syarat dan kriteria kelayakan ditetapkan.
“Bagaimanapun, kerajaan kekal komited mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing secara berperingkat, selaras dengan agenda reformasi pasaran buruh di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13).
“Sasaran kerajaan adalah untuk mengurangkan peratusan pekerja asing kepada 10 peratus daripada keseluruhan tenaga kerja negara menjelang 2030,” katanya.
Sehubungan itu, KPDN menggesa semua pihak berkepentingan, termasuk Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA), mengemukakan syor dan cadangan berasaskan data serta kajian menyeluruh bagi membantu mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga kerja asing.
Beliau berkata, usaha itu penting bagi menangani kesan herotan gaji dan produktiviti dalam negara, selain menyokong agenda meningkatkan pendapatan serta taraf hidup rakyat.
IMedikel TV






