Oleh: Wartawan IMedikel TV
ISKANDAR PUTERI: Pelaksanaan kadar gaji minimum baharu sebanyak RM2,000 sebulan bagi anggota Polis Bantuan tertakluk kepada dasar dan keputusan agensi masing-masing.
Timbalan Pengarah (Operasi Pencegahan/Koordinasi Sumber Sokongan) Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, skim perkhidmatan Polis Bantuan berbeza daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), justeru penetapan gaji bergantung kepada majikan masing-masing.
Bagaimanapun, beliau menegaskan PDRM sentiasa mengambil berat kebajikan 27,550 pegawai dan anggota Polis Bantuan dan berharap perkara itu terus diberi perhatian oleh setiap agensi.
“Pihak PDRM akan memastikan kebajikan anggota penguatkuasaan juga, tetapi walau macam manapun, bergantung kepada agensi masing-masing sekiranya pihak kerajaan mengarahkan untuk agensi-agensi swasta selaraskan gaji minimum perlu dipatuhi, perkara itu perlulah dipatuhilah.
”Pihak PDRM akan memastikan kebajikan anggota dan warga penguatkuasaan itu terpelihara.
“Gaji minimum polis bantuan bergantung kepada agensi masing-masing sebab dia berlainan dan berbeza. Polis Bantuan tidak sama macam skim PDRM,”katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Malaysian Auxiliary Police Association (MAPA) kali ke-37 menghimpunkan PDRM dan ketua-ketua agensi Polis Bantuan di Hotel Sunway Bigbox di sini, hari ini.
Nik Ros Azhan berkata polis bantuan berperanan membantu PDRM mencegah jenayah dan menjaga keselamatan di kawasan yang ditetapkan.
Katanya PDRM melalui JPJKK akan terus memperkukuh urusan pelantikan, latihan dan penyeliaan.
“PDRM mengambil maklum cadangan yang dibangkitkan dalam persidangan ini. Setiap penambahbaikan akan diteliti berdasarkan undang-undang, dasar dan arahan semasa.
“Majikan pula hendaklah memastikan latihan, disiplin dan integriti anggota sentiasa dipelihara.
“PDRM melalui JPJKK bersama Bahagian Latihan, Jabatan Pengurusan turut membentangkan jadual kursus lanjutan Polis Bantuan bagi tahun 2027,”katanya.
Pada Oktober, kerajaan bersetuju menaikkan kadar gaji minimum daripada RM1,700 kepada RM2,000 sebulan berkuat kuasa Jun 2027, yang dijangka memanfaatkan lebih empat juta pekerja di seluruh negara.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kenaikan itu bertujuan merapatkan jurang antara produktiviti dengan upah pekerja, selain menangani tekanan kos sara hidup susulan pendapatan rakyat yang tidak meningkat seiring kenaikan harga barangan.
Setakat ini, MAPA mempunyai 181 agensi ahli, manakala keseluruhan negara mencatatkan 293 agensi dengan kekuatan 27,550 pegawai dan anggota Polis Bantuan.
IMedikel TV






