Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
GUA MUSANG: Seorang lelaki tempatan ditahan selepas dipercayai membawa tujuh warga Myanmar tanpa dokumen perjalanan atau pengenalan diri yang sah dalam sebuah kenderaan Perodua Aruz di Kilometer 10, Jalan Sungai Terah, di sini, semalam.
Kesemua warga asing berkenaan terdiri daripada lima lelaki dan dua wanita berusia antara 17 hingga 39 tahun.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, tangkapan dilakukan kira-kira jam 10.50 pagi pada 11 November ketika sepasukan anggota Unit Kereta Peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang menjalankan rondaan cegah jenayah.
“Pemeriksaan terhadap kenderaan yang berada dalam keadaan mencurigakan itu mendapati ia dipandu lelaki tempatan berusia 40 tahun bersama tujuh penumpang terbabit.
“Polis kemudian menahan pemandu dan kesemua penumpang bagi membantu siasatan selain merampas sebuah Perodua Aruz serta telefon bimbit untuk tindakan lanjut.
“Siasatan awal mendapati pemandu berkenaan dipercayai mengambil kesemua warga asing itu di sekitar Pasir Mas untuk dibawa ke Kuala Lumpur dengan bayaran RM300 bagi setiap individu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti pihak lain yang dipercayai turut terbabit dalam kegiatan berkenaan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 55E dan Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.
Sehubungan itu, polis menasihatkan orang ramai supaya tidak melindungi, membawa atau membantu mana-mana pendatang asing yang tidak mempunyai dokumen sah.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan itu diminta menyalurkannya kepada balai polis berhampiran.
IMedikel TV






