PARIS: Jake Paul menganggap pertarungan menentang juara kickboxing Perancis, Cedric Doumbe, sekadar aksi pemanas badan buat dirinya menjelang pertembungan lapan pusingan kategori cruiserweight di Coca-Cola Arena, Dubai, pada 24 Disember ini.
Memetik laporan Reuters menerusi Berita Harian, Malah, Paul tidak melihat reputasi Doumbe sebagai bekas juara dunia kickboxing Glory dan petarung seni bela diri campuran (MMA) sebagai ancaman besar, sebaliknya yakin mampu menumbangkan lawannya itu pada malam Krismas.
Keyakinan itu diluahkan Paul ketika menghadiri sidang media promosi pertarungan berkenaan di Paris, apabila dia turut menyifatkan Doumbe bakal menerima pengajaran sukar dalam gelanggang tinju.
“Dia juara dunia kickboxing, juara Glory dan antara yang terbaik dalam MMA. Dia memang hebat. Tetapi dia akan tumbang pada malam Krismas.
“Kickboxing tidak akan membantunya kerana ini adalah tinju. Dia akan menerima pengajaran yang cukup sukar dan hakikatnya, dia masih sekadar lawan pemanas badan buat saya,” kata Paul.
Pertarungan itu bakal menjadi penampilan pertama Paul (12-2, tujuh KO) sejak menjalani beberapa pembedahan bagi membaiki rahangnya yang patah di dua bahagian selepas tewas kepada bekas juara heavyweight dunia dua kali, Anthony Joshua.
Pertarungan heavyweight lapan pusingan yang berlangsung di Miami pada 19 Disember 2025 itu berakhir pada pusingan keenam selepas Paul gagal meneruskan cabaran.
Sementara itu, Doumbe memiliki rekod 75 kemenangan, tujuh kekalahan dan satu seri dalam kickboxing, termasuk 45 kemenangan menerusi KO.
Dalam MMA, dia mencatat enam kemenangan dan satu kekalahan, termasuk kemenangan KO hanya dalam tempoh sembilan saat ke atas Jordan Zebo pada September 2023.
Bagaimanapun, rekod tinju profesional Doumbe masih terhad kepada satu pertarungan apabila menewaskan petinju senegara, Mohamed Fodil, pada April 2015.
Namun, Doumbe turut menunjukkan keyakinan tinggi apabila menyifatkan Paul sebagai petinju yang mudah ditewaskan dan mengakui mahu menikmati pertarungan itu tanpa perlu membuat persiapan berlebihan.
“Saya teringin sekali dalam hidup untuk bertarung dalam perlawanan mudah. Sebab itu saya mencabarnya kerana mahu berdepan seseorang yang tidak kuat, menewaskannya dengan mudah dan membawa pulang wang.
“Saya tidak melakukan apa-apa persiapan untuk pertarungan ini. Saya hanya menonton video di Netflix. Dia seorang YouTuber yang hebat tetapi bukan petinju,” katanya. – REUTERS, BH Online –
IMedikelTV






