LONDON: Thomas Tuchel percaya England sudah bersedia untuk menamatkan rekod tanpa kalah Sepanyol apabila bertemu juara dunia dan Eropah itu di Madrid, Isnin ini.
Memetik laporan Afp menerusi Berita Harian, Walaupun kemenangan hanya menawarkan peluang untuk mendapat laluan lebih mudah pada undian suku akhir Liga Negara-Negara pada Mac depan, kejayaan menamatkan rekod 43 perlawanan tanpa kalah Sepanyol tetap menjadi detik bersejarah buat England.
“Sepanyol adalah pasukan yang sudah lupa bagaimana rasanya kalah. Jadi, sudah tentu kami memerlukan persembahan terbaik dan jika mampu melakukannya, ia akan memberikan suntikan semangat yang besar kepada kami.
“Saya fikir kami sudah berada pada tahap itu dan saya percaya kami bersedia untuk menang pada Isnin ini.
“Saya tahu apa yang diperlukan dan tiada siapa boleh menjamin kemenangan, tetapi saya fikir inilah masanya untuk menguji sejauh mana kemampuan kami, melangkaui had yang ada serta membuktikan kemampuan sebenar pasukan,” kata pengurus England itu yang membimbing pasukannya menewaskan Croatia 2-1 di Wembley, semalam.
England tewas 2-3 kepada Sepanyol pada pertemuan pertama di Wembley, September lalu, namun keputusan mungkin berbeza sekiranya Harry Kane berjaya menyempurnakan sepakan penalti untuk meletakkan pasukan kendalian Tuchel itu mendahului 3-1.
“Penting untuk kami bermain dengan mentaliti sama seperti ketika beraksi di laman sendiri, menyerang mereka, cuba menjadikan perlawanan lebih fizikal dan menggunakan kekuatan yang kami ada,” katanya.
Pemain England sebelum ini pernah menjadi sasaran ejekan berunsur perkauman di Sepanyol apabila Ashley Cole dan Shaun Wright-Phillips menjadi mangsa ketika aksi persahabatan di Madrid pada 2004.
Sementara itu, Sepanyol perlu mengurangkan kapasiti penonton bagi aksi persahabatan seterusnya di laman sendiri sebagai hukuman terhadap penyokong yang melaungkan sorakan berunsur diskriminasi mengenai umat Islam ketika perlawanan menentang Mesir pada Mac lalu.
“Kami tidak akan sesekali menerima isu perkauman. Kami juga tidak akan bersikap rasis terhadap sesiapa pun.
“Sudah tentu saya menjangkakan sokongan penuh penyokong Sepanyol terhadap pasukan mereka. Namun, kami tidak akan mengharapkan apa-apa. Saya fikir pengadil dan pegawai perlawanan juga sudah mengetahui perkara itu.
“Protokol sudah ditetapkan dan penting untuk pemain mengetahui prosedur berkenaan.
“Kami akan memberikan jawapan sekiranya perkara seperti itu berlaku. Jawapan terbaik adalah di atas padang,” kata Tuchel. – AFP, BH Online –
IMedikelTV






