HYDERABAD: Sekurang-kurang 24 orang, termasuk ramai pelajar, maut dalam kemalangan membabitkan sebuah bas bertembung lori kontena di negeri Assam, timur laut India, semalam.
Memetik laporan Bernama menerusi Berita Harian, Selain itu, sekurang-kurang 11 mangsa dilaporkan cedera dalam nahas yang berlaku di lebuh raya berhampiran Taman Negara Kaziranga itu.
Insiden berlaku ketika bas itu sedang dalam perjalanan dari Golaghat ke Nagaon, manakala lori kontena terbabit menuju ke kawasan Upper Assam, menurut agensi berita PTI yang memetik polis.
“Skala kehilangan nyawa terbabit amat mengejutkan kita semua, dan saya bersimpati dengan keluarga yang kehilangan insan tersayang,” kata Ketua Menteri Assam, Himanta Biswa Sarma, dalam hantaran melalui media sosial.
Menteri Assam, Atul Bora yang melawat lokasi nahas di Rangajan pula memberitahu pemberita bahawa kerajaan akan menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian.
Penduduk di kawasan berkenaan memaklumkan kepadanya bahawa bas terbabit dipercayai dipandu laju ketika kejadian. – BERNAMA, BH ONline –
IMedikelTV






