KUALA LUMPUR: Anak perempuan kepada pelakon Norish Karman, Amanda berkongsi kisah ibunya diminta untuk memulangkan anak-anak angkat kepada pihak berkaitan jika sudah tidak mampu untuk menjaga mereka.
Memetik laporan Harian Metro, menerusi sesi siaran langsung di TikTok bersama usahawan kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri, malam tadi, Amanda yang dikenali sebagai Manda mengakui terkilan dengan komen-komen negatif netizen terhadap dirinya.
“Manda sebagai kakak, Manda rasa gagal. Setiap hari Manda rasa macam apa lagi Manda boleh buat untuk adik-adik dan untuk keluarga ini.
“Mereka boleh cakap apa yang mereka mahu cakap, tetapi tipulah kalau Manda cakap Manda tidak sakit hati. Manda tahu ramai yang cakap Manda tidak mahu kerja. Kamu semua tidak tahu betapa sakitnya hati Manda dengar komen-komen seperti itu?
“Banyak kali saya mahu keluar pergi kerja, tetapi tidak boleh, situasi tidak mengizinkan. Saya perlu ada untuk Bunda (panggilan kepada Norish) sebab tiada orang lain, lainlah kalau bunda sudah ada suami,” katanya dalam nada sebak.
Sementara itu, Manda turut menjelaskan bahawa tangisannya dalam sesi siaran langsung sebelum ini disebabkan rasa terharu dengan keikhlasan Aliff Syukri yang sudi menolong keluarganya yang berada dalam kesempitan.
“Sebenarnya Manda bukan menangis sebab Manda mahukan sangat duit itu, tetapi Manda rasa terharu sangat yang Papa (Aliff Syukri) tiada sebab pun untuk kisah pasal kami sekeluarga.
“Tetapi dia (Aliff Syukri) kisah juga dengan kami. Papa pun ada banyak perniagaan dia boleh buat, macam kamu semua cakaplah. Papa ada banyak lagi orang boleh bantu.
“Selepas sesi siaran langsung dengan Papa (tempoh hari), ramai orang tawarkan pekerjaan kepada Manda. Manda hargai yang ketika kami sekeluarga susah, Papa seorang sahaja yang terima dan mendengar masalah kami,” kongsi Manda.
Terdahulu, tular video sesi siaran langsung apabila Aliff Syukri memberi sejumlah wang kepada Norish sekeluarga atas usaha membantu melariskan jualan produk melalui sesi siaran langsung di TikTok.-HMetro Online-
IMedikel TV






