Home Buletin Semasa OP REDBACK 23 PERKUKUH KERJASAMA MARITIM MALAYSIA-AUSTRALIA

OP REDBACK 23 PERKUKUH KERJASAMA MARITIM MALAYSIA-AUSTRALIA

KOTA BHARU: Kerjasama strategik antara Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Australian Border Force (ABF) terus diperkukuh menerusi pelaksanaan Operasi REDBACK 23/2026 bagi meningkatkan keupayaan penguatkuasaan serta membanteras ancaman jenayah rentas sempadan.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata, operasi berkenaan bukan sekadar operasi penguatkuasaan, sebaliknya turut menjadi platform latihan bersama yang mencerminkan kepercayaan, perkongsian maklumat dan komitmen kedua-dua negara dalam menangani ancaman jenayah maritim yang semakin kompleks.

Menurut beliau, kerjasama antara Malaysia dan Australia itu telah terjalin sejak 2019, manakala operasi berkenaan merupakan edisi ke-23 sejak pertama kali dilaksanakan pada 2013.

Beliau berkata, pelaksanaan operasi kali ini mencatat sejarah apabila buat pertama kalinya diadakan di Kelantan dan memberi tumpuan kepada kawasan perairan negeri berkenaan.

Katanya, pemilihan Kelantan mengambil kira kedudukan geografinya yang bersempadan dengan negara jiran serta mempunyai cabaran keselamatan maritim yang memerlukan pemantauan dan penguatkuasaan berterusan.

Dalam pada itu, kerjasama strategik berkenaan turut menyumbang kepada peningkatan keupayaan agensi penguatkuasaan menerusi perkongsian maklumat, latihan dan penyelarasan operasi antara kedua-dua negara.

Menurut Mohd Zawawi, sebanyak tiga kes tangkapan direkodkan bagi tempoh 2023 hingga 2026 berkaitan operasi berkenaan, iaitu satu kes pada 2025 dan dua kes pada tahun ini.

Beliau berkata, kejayaan itu mencerminkan komitmen serta kesungguhan Maritim Malaysia, termasuk kerjasama agensi penguatkuasaan lain dalam memastikan keselamatan perairan negara terus terpelihara.

Kerjasama dengan ABF juga memberi ruang kepada penambahbaikan aspek rondaan dan pengawasan, khususnya dalam menghadapi ancaman jenayah rentas sempadan yang turut menjadi cabaran kepada negara-negara serantau.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here