Home Buletin Semasa 334 PATI DITAHAN DI KELANTAN, SINDIKET CAJ SEHINGGA RM10,000

334 PATI DITAHAN DI KELANTAN, SINDIKET CAJ SEHINGGA RM10,000

KOTA BHARU: Seramai 334 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam 45 kes penguatkuasaan di perairan Kelantan sepanjang tempoh tiga tahun lalu, dengan sindiket penyeludupan dipercayai mengenakan bayaran antara RM3,500 hingga RM10,000 bagi membawa masuk individu berkenaan ke negara ini.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata, warga Myanmar mencatatkan jumlah tangkapan tertinggi iaitu 166 orang, diikuti Vietnam (61), Thailand (42), Kemboja (18), Indonesia (13), India (11), Bangladesh (empat), Laos (dua) dan Sri Lanka (seorang).

Menurut beliau, kemasukan PATI melalui Kelantan kebanyakannya menggunakan laluan darat di Thailand sebelum dibawa masuk ke Malaysia melalui laluan laut.

Beliau berkata, hasil risikan dan tangkapan terdahulu turut mendapati terdapat modus operandi baharu membabitkan perjalanan dari Singapura ke Phuket, Thailand sebelum meneruskan perjalanan melalui jalan darat.

Katanya, bayaran yang dikenakan sindiket kepada PATI untuk memasuki negara ini secara tidak sah adalah antara RM3,500 hingga RM10,000, bergantung kepada lokasi dan kewarganegaraan individu terbabit.

Dalam perkembangan sama, Kelantan merekodkan penahanan seramai 189 PATI bagi tempoh Januari hingga Oktober tahun ini hasil tindakan penguatkuasaan Maritim Malaysia di negeri berkenaan.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Majlis Penutup OP REDBACK 23/2026.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here