Home Buletin Semasa SIAPA SANGKA BOLEH JADI HAFIZ AL-QURAN WALAUPUN BERADA DI SEBALIK TIRAI BESI

SIAPA SANGKA BOLEH JADI HAFIZ AL-QURAN WALAUPUN BERADA DI SEBALIK TIRAI BESI

13
0

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

MACHANG: Berada di sebalik tirai besi bukan penghalang bagi seorang banduan berusia 36 tahun untuk mengubah kehidupannya apabila berjaya menghafaz dan khatam 30 juzuk Al-Quran sepanjang menjalani hukuman.

Muhammad berkata, dia tidak menyangka kehidupannya berubah selepas mengambil peluang mengikuti program hafazan Al-Quran ketika berada di Pusat Pemulihan Akhlak (PPA) Machang.

“Saya tidak sangka kehidupan saya akan berubah sehingga berjaya menghafaz dan khatam 30 juzuk Al-Quran.

“Daripada saya duduk sahaja dalam penjara, lebih baik saya hafal Al-Quran, boleh juga isi masa lapang,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Khatam Perdana Hafazan Al-Quran Sekolah Tahfiz Al-Quran Al-Furqan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) di PPA Machang, di sini pada Isnin.

Dalam majlis itu, Muhammad merupakan penerima Insentif Huffaz Al-Quran MAIK bagi tahun 2026 yang menawarkan ganjaran sebanyak RM7,200 setahun atau RM600 sebulan.

Muhammad menjalani hukuman di PPA Machang sejak September 2023 selepas disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Dia yang mempunyai latar belakang sebagai pendidik bahasa Arab mengakui ia memudahkan proses menghafaz Al-Quran apabila hanya mengambil masa selama setahun lapan bulan dan 14 hari sahaja untuk bergelar hafiz.

“Walaupun dulu, ayah menganggap saya seorang yang lambat dari segi menghafal, tapi siapa sangka sekarang dia bangga dengan saya kerana sudah menjadi seorang hafiz.

“Sekarang ini ayah saya mempunyai dua orang anak yang bergelar hafiz, yang mana seorang lagi adalah adik saya,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya pada awal kemasukan, dia ditawarkan untuk menyertai Sekolah Tahfiz Al-Quran Al-Furqan MAIK dan melepasi saringan temu duga.

“Sekarang ini saya sudah menjadi tenaga pengajar untuk mengajar prospek lain,” katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here