Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
PUTRAJAYA: Kerajaan mengekalkan harga petrol RON95 bersubsidi pada RM1.99 seliter bagi melindungi rakyat daripada kesan kenaikan mendadak harga minyak mentah global yang kini melebihi AS$100 setong susulan konflik berterusan di Asia Barat.
Kementerian Kewangan (MoF) dalam kenyataan memaklumkan, langkah itu dilaksanakan melalui mekanisme BUDI95 sebagai sebahagian daripada pendekatan subsidi bersasar Kerajaan MADANI.
Menurut MoF, meskipun berlaku peningkatan ketara harga minyak dunia, kerajaan memilih untuk tidak memindahkan sepenuhnya kenaikan tersebut kepada rakyat.
“Melalui BUDI95, pengguna yang layak terus menikmati harga RON95 pada kadar RM1.99 seliter, sekali gus membantu meringankan beban kos sara hidup.
“Berdasarkan Mekanisme Harga Automatik (APM), harga runcit bahan api bagi tempoh 19 hingga 25 Mac 2026 menyaksikan kenaikan bagi beberapa jenis bahan api, khususnya RON97 dan diesel di Semenanjung Malaysia,”menurut kenyataan itu semalam.
MoF dalam kenyataan berkata harga RON97 meningkat kepada RM4.55 seliter berbanding RM3.85 sebelum ini, manakala diesel di Semenanjung Malaysia naik kepada RM4.72 seliter daripada RM3.92 seliter.
Bagaimanapun, harga RON95 tanpa subsidi kekal pada RM3.27 seliter, manakala diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan tidak berubah pada RM2.15 seliter.
“Kenaikan harga bahan api global berpunca daripada ketegangan geopolitik yang berterusan di Asia Barat serta ketidakpastian bekalan yang menjejaskan pasaran tenaga dunia.
“Walaupun Malaysia merupakan negara pengeluar minyak, harga produk petroleum domestik masih dipengaruhi oleh pasaran global,”jelas kenyataan itu.
Dalam masa sama, kerajaan menanggung beban subsidi yang tinggi melebihi RM3 bilion sebulan bagi memastikan harga bahan api kekal terkawal, termasuk mengekalkan harga diesel pada RM2.15 seliter untuk sektor pengangkutan awam dan barangan.
“Lebih 400,000 kenderaan dalam sektor pengangkutan awam dan logistik terus dilindungi melalui skim subsidi bersasar seperti Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) dan Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS).
“Langkah berkenaan penting bagi memastikan kos logistik dan pengangkutan tidak meningkat secara mendadak, sekali gus membantu mengekalkan kestabilan harga barangan di pasaran,”menurut kenyataan.
Selain itu, kerajaan turut mengekalkan harga RON95 tanpa subsidi bagi mengelakkan tekanan tambahan kepada rakyat, khususnya menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.
MoF turut memaklumkan bahawa pemantauan dan penguatkuasaan akan terus dipertingkat bagi memastikan pematuhan terhadap peraturan serta membendung ketirisan dan aktiviti penyeludupan bahan api rentas sempadan.
“Kerajaan MADANI akan terus mengambil pendekatan berhemah dan bertanggungjawab dalam mengurus harga bahan api domestik bagi memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara,” menurut kenyataan itu.
IMedikel TV






