Home Buletin Semasa PEMANGKU RAJA KELANTAN MAHU KERJASAMA KELANTAN, KERAJAAN PERSEKUTUAN DITERUSKAN

PEMANGKU RAJA KELANTAN MAHU KERJASAMA KELANTAN, KERAJAAN PERSEKUTUAN DITERUSKAN

80
0

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

KOTA BHARU: Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra menzahirkan harapan agar kerjasama Kerajaan Persekutuan dan Kelantan diteruskan bagi memastikan pembangunan di negeri itu tidak ketinggalan.

Baginda turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan khususnya Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kerajsama strategik bersama kerajaan Kelantan yang sudah menyumbang kejayaan dalam pelaksanaan pelbagai projek pembangunan di negeri itu. 

“Beta berasa sukacita atas pengoperasian Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) yang sudah siap dinaik taraf sepenuhnya.

“Beta juga menzahirkan harapan agar kerjasama ini diteruskan dengan pelaksanaan projek Kota Bharu Sentral melalui integrasi pembangunan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sebagai hab transit moden yang bakal menjadi pemangkin ekonomi setempat,” titah baginda.

Baginda bertitah pada Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan Ke-15, di sini, hari ini.

Baginda bertitah, pembangunan infrastruktur yang menyeluruh dapat menjadi pemangkin kepada lebih banyak perancangan pembangunan pada masa akan datang.

”Kerajaan Negeri juga hendaklah terus memperkasa sektor-sektor ekonomi berimpak tinggi bagi merangsang pertumbuhan ekonomi negeri.

”Pada masa sama, pembangunan Tok Bali Industrial Park sebagai hab Perindustrian baharu berpotensi menarik pelaburan dalam sektor pembuatan, pemprosesan makanan, logistik serta industri marin.

”Sektor pelancongan turut menjadi pemangkin penting kepada pertumbuhan ekonomi negeri.

”Beta menyeru kerajaan negeri agar terus mempergiat usaha menaik taraf kemudahan pelancongan serta memperluas promosi pelancongan selaras dengan Tahun Melawat Malaysia 2026,” titah baginda.

Baginda bertitah sebagai sebuah negeri yang turut menampilkan keunikan gastronomi sebagai tarikan utama pelancongan, dalam konteks pengurusan makanan khususnya, baginda menggesa pihak yang terlibat termasuk penyedia makanan perlu memastikan makanan dijual adalah halal, bersih dan harga berpatutan.

“Beta juga ingin menegaskan bahawa Kelantan perlu memantapkan sistem pendidikan yang holistik dan seimbang merangkumi pendidikan arus perdana, pendidikan agama serta kemahiran.

“Beta juga menggesa kerajaan negeri agar mewujudkan platform sokongan khidmat psikologi, sokongan sosial dengan menyediakan taman rekreasi dan kemudahan sukan,” titah baginda.

Baginda turut menaruh keyakinan bahawa melalui perpaduan, kerjasama dan komitmen semua pihak, negeri akan terus melangkah maju sebagai sebuah negeri makmur, sejahtera dan diberkati.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here