Home Buletin Semasa POLIS RAMPAS 11 PIL DISYAKI DADAH

POLIS RAMPAS 11 PIL DISYAKI DADAH

87
0

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

JELI: Insiden kejar-mengejar antara polis dan seorang lelaki yang memandu kereta jenis Honda Accord membawa kepada rampasan 11 biji pil kemerahan disyaki dadah ketika menjalankan pemeriksaan jalan raya di Batu 6, Jalan Raya Timur Barat (JRTB), Batu Melintang, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Jeli, Superintendan Kamarulzaman Harun berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 6.20 petang ketika pihak polis menjalankan pemeriksaan sekatan jalan raya sebelum mengesan sebuah kereta dari arah Gerik menuju ke Jeli yang dipandu dalam keadaan mencurigakan.

“Kereta itu kemudian memecut laju melalui sekatan jalan raya dan melarikan diri daripada pemeriksaan polis.

“Tidak lama kemudian, anggota polis mengejar kenderaan tersebut dan berlaku insiden kejar-mengejar sehingga ke daerah Tanah Merah.

“Kenderaan itu enggan berhenti dan secara tiba-tiba suspek membuat pusingan U di Jalan Jedok, Tanah Merah sehingga melanggar kenderaan polis,” katanya dalam kenyataan.

Kamarulzaman berkata, suspek kemudiannya ditahan dan pemeriksaan lanjut menemukan keratan straw minuman berisi 10 biji pil kemerahan disyaki dadah di bawah pelapik kaki bahagian pemandu.

Menurutnya, satu lagi straw minuman berisi sebiji pil sama turut ditemukan di tepi pintu bahagian pemandu.

Katanya, hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif methamphetamine.

Kes disiasat di bawah Seksyen 26(2) Akta Polis 1967, Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Permohonan reman terhadap suspek dilakukan di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah,” katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here