Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KOTA BHARU: Cadangan untuk menaik taraf hierarki Mahkamah Syariah daripada tiga peringkat kepada empat peringkat sedang diteliti oleh Kerajaan Negeri melalui pewujudan Mahkamah Utama Syariah sebagai peringkat tertinggi dalam sistem kehakiman Syariah Negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri Mohd Asri Mat Daud berkata kajian itu dilaksanakan oleh Bahagian Undang-Undang Negeri Kelantan (BAHUU) secara terperinci.
“Kajian merangkumi pelbagai aspek termasuk keperluan perundangan, keupayaan institusi, perkembangan kes serta amalan terbaik di negeri-negeri lain.
“Dari sudut prinsip keadilan, kajian juga mendapati bahawa ada keperluan untuk menambah satu lagi peringkat mahkamah bagi memastikan kesamarataan dalam hak rayuan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Zameri Mat Nawang (PAS-Jelawat) mengenai langkah memperkasakan Mahkamah Syariah Negeri Kelantan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini.
Di samping itu, Mohd Asri berkata pada masa ini, kes-kes yang diputuskan di Mahkamah Tinggi Syariah dalam bidang kuasa asal hanya mempunyai satu peluang rayuan, sedangkan kes dari Mahkamah Rendah Syariah mempunyai dua peringkat rayuan.
“Keadaan ini menimbulkan ketidakseimbangan dari sudut peluang mendapatkan keadilan, sedangkan Islam sendiri menuntut keadilan yang menyeluruh dan tidak membezakan antara pihak-pihak yang berlitigasi,” katanya.
Beliau berkata, usaha untuk pemerkasaan institusi kehakiman Syariah melalui penstrukturan semula hierarki mahkamah merupakan suatu perkembangan yang realistik dan berasaskan keperluan semasa.
IMedikel TV






