Home Buletin Semasa KELANTAN CATAT KUTIPAN HASIL TANAH RM380 JUTA TAHUN LALU

KELANTAN CATAT KUTIPAN HASIL TANAH RM380 JUTA TAHUN LALU

34
0

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan mendedahkan beberapa faktor kejayaan yang mendorong kepada kutipan hasil tanah berjumlah RM380 juta pada tahun lalu.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata, antara faktor kejayaan itu ialah mekanisme pemantauan secara berkala daripada Pejabat Pengarah Tanah dan Galian serta penetapan sasaran kutipan yang jelas kepada setiap Pejabat Tanah dan Jajahan.

“Kaedah pemprosesan permohonan berkaitan tanah seperti pemberimilikan, tukar syarat dan pecah sempadan juga dilaksanakan secara lebih sistematik.

“Selain itu, kemudahan pembayaran hasil tanah secara atas talian serta pendigitalan sistem pentadbiran tanah turut mempercepatkan proses perkhidmatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chetok, Zuraidin Abdullah (PAS) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan ke-15, di sini hari ini.

Beliau berkata, kerajaan negeri akan memastikan prestasi kutipan hasil tanah di negeri itu terus dikekalkan di setiap jajahan.

“Kita akan menetapkan sasaran kutipan hasil yang jelas kepada setiap Pejabat Tanah dan Jajahan serta mengoptimumkan penggunaan tanah kerajaan melalui pembangunan strategik, pajakan dan kerjasama pembangunan.

“Kesedaran pematuhan pembayar cukai juga penting selain memperkukuh kapasiti sumber manusia melalui latihan berterusan.

“Selain itu, peningkatan penguatkuasaan di bawah Kanun Tanah Negara juga akan dilaksanakan,” katanya.

Menurutnya, kerajaan negeri juga komited menambah baik kaedah penyampaian perkhidmatan kepada rakyat termasuk dalam urusan kutipan hasil tanah agar menjadi lebih mudah.

“Pengurusan kutipan cukai tanah di Kelantan tidak memperuntukkan kewajipan kepada pentadbir tanah untuk mengemukakan peringatan kepada pemilik tanah, namun notis peringatan secara bersasar dan hebahan umum melalui pelbagai saluran sentiasa dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata, Pejabat Tanah juga menggalakkan pemilik tanah membuat bayaran lebih awal.

“Sikap proaktif dan berdisiplin dalam menjelaskan cukai tanah dapat mengelakkan tindakan penguatkuasaan dan penalti berdasarkan peraturan sedia ada,” katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here