ROTTERDAM: AZ Alkmaar menampilkan persembahan cukup dominan untuk menjulang Piala Belanda selepas membelasah NEC Nijmegen 5-1 dalam aksi final di Stadium Feyenoord, malam tadi.
Memetik laporan Reuters menerusi Harian Metro, AZ terlebih dahulu membuka tirai jaringan pada minit ke-32 menerusi bek kiri, Mees de Wit yang menyudahkannya dari jarak dekat selepas gerakan menarik Ro-Zangelo Daal di bahagian sayap kiri.
Pasukan itu kemudian terus menjarakkan kedudukan selepas rehat apabila Sven Mijnans meledak gol kedua pada minit ke-67 sebelum Peer Koopmeiners menambah derita NEC enam minit kemudian.
NEC sempat merapatkan jurang pada minit ke-78 menerusi penyerang Jepun, Koki Ogawa, namun kebangkitan itu ternyata tidak membawa sebarang erti.
Mijnans sekali lagi meledak pada penghujung perlawanan, namun jaringan itu dibatalkan kerana ofsaid dalam gerakan terdahulu.
Bagaimanapun, AZ tetap tidak mengendurkan asakan apabila pemain muda Belanda, Kees Smit menjadikan kedudukan 4-1 pada awal masa kecederaan menerusi satu lambungan bijak menewaskan penjaga gol NEC, Jasper Cillessen.
Troy Parrott kemudian melengkapkan malam gemilang AZ apabila menjaringkan gol kelima pada minit kelima masa kecederaan, dengan percubaannya dari jarak dekat terkena pertahanan sebelum menerjah gawang.
Kejayaan itu menyaksikan AZ merangkul kejuaraan kelima Piala Belanda dan yang pertama dalam tempoh 13 tahun, manakala NEC terus kempunan selepas tewas dalam kesemua enam final yang pernah mereka harungi.
Kejayaan itu turut menghadiahkan AZ tempat ke fasa liga Liga Europa musim depan, beberapa hari selepas mereka tersingkir di suku akhir Liga Konferensi Eropah di tangan Shakhtar Donetsk.-Reuters, HMetro Online-
IMedikel TV






