MANCHESTER: Bernardo Silva mengakui peluang Manchester City untuk kembali menyamai pungutan mata Arsenal dalam perebutan kejuaraan Liga Perdana Inggeris kelihatan seperti sesuatu yang sukar dibayangkan hanya dua minggu lalu.
Memetik laporan AFP menerusi Harian Metro, bagaimanapun, kemenangan 2-1 ke atas Arsenal di Stadium Etihad malam tadi mengubah segala-galanya apabila skuad kendalian Pep Guardiola itu kini hanya memerlukan satu lagi kemenangan ke atas Burnley pada Rabu untuk memintas pencabar utama mereka.
Kapten City itu berkata, situasi semasa nyata jauh lebih baik berbanding apa yang dilihat sebelum ini, sekali gus menghidupkan semula keyakinan pasukan dalam perlumbaan memburu gelaran.
“Ia meletakkan kami di kedudukan di mana jika kami memenangi satu lagi perlawanan tertangguh, kami akan mempunyai mata yang sama.
“Dan kalau anda lihat, dua minggu lalu, situasi ini nampak sangat tidak mungkin berlaku. Jadi ya, ia perlawanan yang sukar, perlawanan yang bagus, tetapi kami gembira,” katanya.
Dalam aksi itu, City terlebih dahulu berada di depan menerusi jaringan cantik Rayan Cherki sebelum Kai Havertz menyamakan kedudukan buat Arsenal, namun Erling Haaland muncul wira dengan meledak gol kemenangan pada minit ke-65.
Silva bagaimanapun enggan terlalu awal bercakap soal trofi dan menegaskan perjalanan musim ini masih panjang, apatah lagi City turut melalui banyak detik sukar sebelum ini.
“Ia musim yang panjang. Saya rasa banyak perkara kecil tidak memihak kepada kami musim ini.
“Bukan saja keputusan, tetapi juga situasi permainan yang tidak bernasib baik. Kami terlepas banyak peluang, kami ada banyak perlawanan yang sepatutnya kami menangi, dan hari ini keadaan menyebelahi kami,” katanya.
Haaland pula menegaskan kemenangan ke atas Arsenal tidak bermakna apa-apa jika City gagal mengekalkan fokus untuk aksi seterusnya menentang Burnley.
“Pada Rabu kami ada satu lagi final. Jadi sebaik saja kami habis bercakap di sini, ia tentang mula fokus semula, pulih dan buat persiapan untuk Burnley.
“Perlawanan Burnley sama penting seperti perlawanan ini, dan sama penting seperti perlawanan menentang Chelsea. Jadi kami perlu fokus, kami perlu kekal merendah diri, jangan terlalu banyak berfikir dan fokus kepada aksi seterusnya,” katanya.–AFP, HMetro Online-
IMedikel TV






