Home Buletin Semasa TIDAK TIDUR, MATA BERAIR ANTARA KESAN ‘PIL KUDA’

TIDAK TIDUR, MATA BERAIR ANTARA KESAN ‘PIL KUDA’

408
0

Oleh: Nur Athirah Azman , Wartawan Imedikel TV

BACHOK: Tanda besar bagi pasangan atau ahli keluarga yang terjebak dalam salah laku dadah jenis pil kuda atau Methamphetamine antaranya adalah tidak tidur malam dan mata berair.

Pembantu Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) cawangan Bachok Rosmani Ali, 50,  menjelaskan, pil kuda merupakan dadah yang paling utama malahan menjadi kegemaran ramai penagih sekitar Kelantan.

“Tanda-tanda dia kalau sekali penggunaan, dia akan menjadi rajin sehingga tidak tidur sampai tiga hari tiga malam kerana berlebihan tenaga pil kuda di peringkat awal.

“Pil kuda ialah dadah jenis nombor satu di Kelantan. Selain pada pil kuda, yang menjadi kegemaran orang kelantan adalah daun ketum dan air ketum.”katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis pelancaran program MyLesen B2 peringkat Negeri Kelantan 2023 di Dewan Tok Tangok, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Bachok, di sini, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, pil kuda yang juga dikenali sebagai ‘Buah’ akan menyerang fizikal penagih terlebih dahulu kemudian menyerang otak dan pada akhirnya cenderung kepada masalah mental.

Rosmani berkata, ketagihan yang berlaku pada penagih boleh menyebabkan mereka loya, sakit badan jikalau tidak mengambil pil kuda.

“Pesanan saya kepada anak-anak muda jangan sesekali nak mencuba sebab perasaan nak mencuba untuk kalangan belia dan remaja ni dia membuak-buak, dia memang nak cuba sesuatu tapi orang kata biar la tahu kesan dia kan. Memang pengambilan dadah ni tidak ada yang baik memang berakhir dengan kematian semua.”katanya.

Menurutnya, setakat ini, terdapat kes kanak-kanak yang berusia 12 tahun terjebak dengan pengambilan pil kuda memandangkan dadah itu mudah didapati di Kelantan.

“Kita ada juga data daripada budak darjah enam, bermula daripada sekolah rendah lagi bawa pada sekolah menengah kebanyakkannya dia akan tercicir sekolah, dia tidak akan sekolah sebab kesan salah satunya jadi malas, duduk dalam dunia dia dan dalam khayalan nak high selalu.”

Seorang lagi Pembantu AADK, Anuar Afiq Shukri, 36, berkata, kepulihan bagi penagih dadah memerlukan tempoh masa yang lama.

Tambahnya, mereka turut memerlukan sokongan kuat daripada pelbagai sudut untuk membantu mereka.

Katanya, pihak AADK memberi tunjuk ajar pada mereka melalui program pemulihan sehingga timbul perasaan benci terhadap dadah dalam diri mereka.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here