Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
BACHOK: Tindakan seorang wanita membakar sampah sehingga merebak ke kawasan semak menyebabkan kemusnahan harta benda di hadapan sebuah rumah di Jalan Pantai Perkasa, di sini.
Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin berkata, pihaknya menahan wanita terbabit kira-kira jam 4.30 petang semalam.

“Berdasarkan siasatan awal, pengadu dimaklumkan oleh saksi bahawa kawasan semak dan rangka kenderaan terbengkalai di hadapan sebuah rumah sedang terbakar.
“Saksi kemudian bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati api sedang marak serta merebak ke kawasan berhampiran rumah pengadu,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Beliau berkata, kejadian dipercayai berlaku sekitar jam 11.30 pagi dan api berjaya dipadamkan oleh orang awam.
Menurutnya, pemeriksaan di lokasi mendapati kawasan kebakaran yang terlibat meliputi kawasan lapang berhampiran rumah terbengkalai hingga ke hadapan rumah pengadu,

“Kebakaran termasuk tanaman seperti pokok kelapa, beberapa barangan lain seperti rangka kenderaan jenis Proton Wira, kayu binaan dan pagar besi.
“Tiada kamera litar tertutup (CCTV) ditemui di lokasi kejadian,” katanya.
Jelas beliau, wanita itu dipercayai melakukan pembakaran di atas tanah miliknya yang terletak bersebelahan kawasan kejadian.
Kes disiasat di bawah Seksyen 285 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan cuai dengan api atau bahan mudah terbakar sehingga membahayakan harta benda.
Orang ramai dinasihatkan supaya tidak melakukan pembakaran terbuka tanpa kawalan kerana boleh mengundang risiko kebakaran serta tindakan undang-undang.
IMedikel TV






