Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
PASIR MAS: Dua lelaki ditahan selepas dipercayai membawa muatan 10,000 kilogram (kg) beras seludup dari Thailand menggunakan sebuah lori dalam operasi di Jalan Kampung Tasek Berangan, di sini, kira-kira jam 2.05 pagi, pada Khamis.
Menurut kenyataan Pasukan Gerakan Am (PGA), penahanan itu dilakukan oleh Batalion 9 PGA Kuala Terengganu menerusi Op Taring selepas mengesan sebuah lori dalam keadaan mencurigakan sebelum kenderaan itu ditahan untuk pemeriksaan.

“Hasil pemeriksaan mendapati lori berkenaan membawa sebanyak 10,000 kg beras yang disyaki diseludup dari Thailand melalui laluan tidak diwartakan.
“Siasatan awal mendapati suspek mengaku mengambil bekalan beras di pangkalan haram sebelum dihantar ke lokasi lain dengan bayaran upah RM100 bagi setiap perjalanan,” menurut kenyataan itu, semalam.
Kedua-dua suspek yang berasal dari Kampung Kubang Pak Hitam, di sini, kini disiasat di bawah Seksyen 20 Akta Kawalselia Padi dan Beras Negara 1994 sebelum dirujuk kepada pihak Kawalselia Padi dan Beras Negara untuk tindakan lanjut.
“Anggaran nilai rampasan membabitkan sebuah lori jenis Isuzu bernilai kira-kira RM80,000 serta muatan beras bernilai RM40,000, menjadikan jumlah keseluruhan rampasan sebanyak RM120,000,” katanya.
IMedikel TV






