KUALA LUMPUR: Memetik laporan menerusi Berita Harian pemain nombor satu negara, S Sivasangari menampilkan kebangkitan luar biasa untuk menyingkirkan pilihan utama Amina Orfi sekali gus layak ke perlawanan akhir Piala Grasshopper 2026 di Zurich.
Sivasangari, yang tidak pernah menewaskan Orfi sejak final Terbuka Hong Kong 2023, bangkit daripada ketinggalan 1-2 sebelum menang 3-2 ke atas pemain ranking ketiga dunia itu sekali gus mara ke final di Zurich bagi tahun kedua berturut-turut.
Pemain ranking keenam dunia itu sebelum ini tewas kepada Orfi pada final Terbuka Karachi tahun ini, namun memastikan penampilan ke perlawanan akhir kelima musim ini apabila mencatat kemenangan 11-7, 5-11, 8-11, 11-9, 11-5 dalam tempoh 81 minit.
“Saya amat gembira,” katanya selepas perlawanan.
“Tiada banyak yang boleh dikatakan mengenai dia (Amina Orfi) – dia pemain nombor tiga dunia, masih muda tetapi sudah berada pada tahap itu dan seorang pemain yang sangat kuat.
“Saya hanya cuba fokus kepada pelan permainan saya. Memang ada elemen fizikal dalam permainan menentangnya, tetapi saya cuba kekal tenang, tidak terlalu memikirkan situasi dan menikmati permainan. Saya cuba tidak terganggu dengan perkara di luar kawalan saya.”
Sivasangari akan berdepan pemain nombor satu Jepun, Satomi Watanabe pada final selepas pemain itu menewaskan Gina Kennedy dari England dalam aksi straight set.
Watanabe yang sebelum ini turut menewaskan Kennedy pada final Terbuka Steel City, mencatat kemenangan 11-7, 11-5, 11-7. – BH Online –
IMedikel TV






