Home Sukan MARTINO MENAFIKAN MESSI MENGALAMI KECEDERAAN

MARTINO MENAFIKAN MESSI MENGALAMI KECEDERAAN

MIAMI: Jurulatih Inter Miami, Gerardo Martino menafikan mengenai kecederaan yang dialami Lionel semalam ketika kelab Major League Soccer (MLS) itu bersedia bagi perlawanan separuh akhir Piala Liga-Liga menentang Philadelphia.

Bintang Argentina, Messi dilihat terseliuh pergelangan kaki kanannya ketika sesi latihan di Fort Lauderdale awal semalam, menurut beberapa laporan di Amerika Syarikat (AS).

Martino bagaimanapun kemudian berkata, tiada apa yang perlu dibimbangkan mengenai tahap kecergasan Messi.

“Saya tidak melihat sebenarnya apa yang berlaku tetapi saya bayangkan jika ada sesuatu yang serius berlaku, semua pemain pastinya terkejut dan kerana mereka semuanya baik, saya fikir tiada apa yang berlaku,” kata Martino.

Kurang sebulan kariernya di Miami, Messi boleh membantu kelab itu layak ke final pertama mereka jika menang ke atas Philadelphia pagi esok.

Messi sudah menjaringkan lapan gol dalam lima penampilan bersama Miami sejak membuat kemunculan sulung buat kelab itu pada 21 Julai lalu.

Miami tidak kalah sejak Messi tiba dan mara ke separuh akhir Piala Liga-Liga, pertandingan baharu liga dua negara MLS dan liga Mexico, Liga MX.

Miami berdepan pasukan Philadelphia Union yang juga salah satu kelab terkuat dalam MLS.

Union menghuni tangga ketiga Eastern Conference – Miami di tangga tercorot – dan muncul naib juara di belakang Los Angeles pada perlawanan penentuan MLS tahun lalu.

“Mereka mempunyai cara mereka, idea mereka dan mereka finalis dalam liga tahun lalu,” kata Martino.

“Kami faham pasukan tempatan akan membuatkan mereka lebih kuat, tetapi kami juga mempunyai aspirasi untuk layak ke final.” – AFP, BH Online

Imedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here