BANGKOK: Pengurusan sebuah tanah perkuburan Cina di Thailand melakukan kelainan apabila membawa pengalaman menonton filem ke tahap baharu dengan mengadakan tayangan filem untuk mereka yang meninggal dunia.
South China Morning Post (SCMP) melaporkan, bermula 2 hingga 6 Jun, tempat persemadian di wilayah Nakhon Ratchasima di timur laut Thailand, yang menempatkan 2,800 kubur, diletakkan barisan kerusi kosong.
Kubur itu kebanyakannya milik keturunan individu dari China yang meninggal dunia di Thailand, dan tayangan filem diatur untuk memperingati roh mereka.
Ketika tayangan filem terbuka, hanya empat kakitangan yang hadir, dan filem itu ditayangkan bermula jam 7 malam hingga tengah malam setiap hari.
Kakitangan terbabit juga mengadakan jamuan arwah, membakar kertas dengan gambar makanan, rumah model, kenderaan, pakaian dan keperluan harian.
Acara tayangan itu dianjurkan oleh Yayasan Sawang Metta Thammasathan untuk memperingati roh dan menyediakan si mati dengan bentuk hiburan moden, menurut KhaoSod, sebuah akhbar harian Thai.
Somchai, penganjur acara berkata, tayangan filem itu diadakan selepas Pesta Ching Ming atau sebelum Pesta Perahu Naga dan menjadi adat tradisi dalam kebanyakan masyarakat Cina di Thailand.
Kontraktor acara, Yanawut Chakrawattisawang, berkata, dia pada mulanya berasa takut untuk menayangkan filem di tanah perkuburan.
Bagaimanapun, dia menyifatkan pengalaman itu unik dan positif, kerana ia kali pertamanya menyediakan hiburan untuk individu yang sudah tiada.
“Acara tayangan filem yang menyeramkan ini sebenarnya idea yang sangat hangat untuk membuat si mati berasa puas dan yang hidup berasa tenang, ” tulis seorang warganet di platform Weibo.
Masyarakat Cina di Thailand dipengaruhi oleh Konfusianisme, menekankan ketaatan anak dan penghormatan kepada nenek moyang.
Mereka percaya bahawa roh mungkin berada lama di dunia manusia kerana keinginan yang tidak tercapai. – AGENSI, HMetro Online –
IMedikel TV






