Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KOTA BHARU: Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), di sini dijangka mampu menampung sehingga 4 juta penumpang setahun.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, lapangan terbang itu merupakan lapangan terbang domestik paling moden dan cantik di seluruh negara dengan keluasan terminal diperluaskan daripada 12,000 meter persegi kepada 36,000 meter persegi.
“Lapangan terbang ini mengendalikan seramai lebih 1.7 juta penumpang pada tahun lalu dengan peningkatan sebanyak 14.1 peratus berbanding lebih 1.4 juta penumpang pada tahun 2024.
“Pencapaian ini jelas menunjukkan bahawa jumlah penumpang kini melepasi kapasiti asal terminal sebanyak 1.5 juta penumpang setahun, dengan lebihan sekitar 14.8 peratus, sekali gus menuntut tindakan segera Kerajaan untuk melaksanakan penaiktarafan bagi menampung permintaan yang kian meningkat,” katanya semasa berucap pada Majlis Pelancaran Terminal Baharu LTSIP, Pengkalan Chepa di sini hari ini.
Beliau berkata, selain itu, kemudahan parkir kenderaan turut dipertingkatkan daripada 450 kepada 1,300 lot, sekali gus meningkatkan keselesaan dan kemudahan kepada para pengguna.
Jelas beliau, projek bernilai RM440 juta itu dilaksanakan secara berfasa iaitu Fasa 1 berjaya disiapkan dan mula beroperasi pada Mei 2024.
“Fasa ini merangkumi pembinaan sebahagian terminal baharu serta penyediaan kemudahan asas operasi dengan kapasiti pengendalian sehingga 1.5 juta penumpang setahun.
“Fasa 2 melibatkan skop pembangunan yang lebih menyeluruh, termasuk pembesaran penuh terminal penumpang, pembinaan bangunan parkir bertingkat (Multi-Storey Car Park – MSCP), Kompleks VVIP, Balai Bomba dan Penyelamat, penambahan ruang parkir pesawat, serta penyediaan infrastruktur sokongan dan utiliti yang lebih komprehensif,” katanya.
Tambahnya, bagi operasi penerbangan pula, jumlah parkir pesawat turut ditambah daripada 5 kepada 11 petak, manakala susun atur terminal juga ditambah baik dengan pemisahan aliran penumpang, di mana balai berlepas kini ditempatkan di aras atas melalui jejambat, sementara balai ketibaan di aras bawah.
Menurutnya, selain itu, projek pemanjangan landasan LTSIP tidak dianggap sebagai satu projek berasingan, tetapi sambungan kepada projek sedia ada.
“Keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar dapat mempercepatkan projek berkenaan kerana tidak memerlukan proses tender dan menjadi sambungan kepada Fasa 2 LTSIP.
“Pemanjangan landasan lapangan terbang ini daripada 2,400 meter kepada 2,800 meter bertujuan bagi menyokong operasi pesawat narrow-body (berbadan sempit) seperti Boeing 737 MAX, Airbus A321 neo dan A321XLR.
“Ini secara tidak langsung membuka potensi kepada pengendalian penerbangan antarabangsa jarak dekat dan sederhana sekali gus menghubungkan Kota Bharu dengan lebih banyak destinasi serantau,” katanya.
IMedikel TV






