Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KOTA BHARU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil pendekatan turun sendiri ke jajahan dan daerah di Kelantan bagi memberi tumpuan kepada projek yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.
Beliau berkata, langkah itu dibuat selepas mengadakan pertemuan bersama Kerajaan Negeri sejak tahun lalu, selain melihat sendiri keperluan sebenar di peringkat akar umbi.
“Sebentar lagi saya ke jajahan Pasir Puteh seperti mana yang sebahagian sudah sedia maklum.
“Selain pertemuan dengan Kerajaan Negeri sejak tahun lalu, saya mengambil keputusan untuk turun ke daerah dan jajahan di Kelantan kerana apabila sampai sahaja ke jajahan, kita dapat menumpukan perhatian pada projek-projek rakyat kecil atau besar yang menyentuh kepentingan rakyat secara langsung,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada pada Majlis Perasmian Terminal Baharu Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) Pengkalan Chepa di sini pada Sabtu.
Hadir sama ialah Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.
Menurut beliau, pendekatan turun padang itu terbukti berkesan berdasarkan pengalaman lawatan ke beberapa kawasan sebelum ini termasuk Kuantan, Kinta, Pengerang, Kulim dan Kuala Terengganu.
Katanya, pendekatan berkenaan membolehkan kerajaan memahami isu sebenar yang dihadapi rakyat melalui maklum balas terus daripada pegawai di peringkat jajahan.
Beliau berkata, pendekatan turun sendiri ke lapangan membolehkan kerajaan memberi perhatian lebih terperinci terhadap projek pembangunan serta isu yang memberi kesan kepada kesejahteraan rakyat.
IMedikel TV






