KUALA LUMPUR: Pelakon dan penyanyi Kazar Saisi, 67, memaklumkan dirinya yang dilihat sepi daripada industri sebelum ini tiada kaitan dengan kemelut rumah tangga anaknya, Ira Kaza dan bekas menantu, Syamsul Yusof.
Menurut Kazar atau nama sebenar Kazaruddin Saisi, dia kurang muncul di kaca televisyen disebabkan tawaran lakonan buat pelakon veteran sepertinya agak kurang.
“Tak ada sebab itu pun (kurang berlakon kerana kemelut rumah tangga Ira dan Syamsul). Ketika itu, indusri memang ‘slow’. Bukan kena pada saya seorang sahaja, tetapi semua (pelakon veteran) tak ada ‘job’.
“Bila tanya kawan-kawan (pelakon veteran) sekarang, Alhamdulillah sudah ada tawaran semula. Walaupun tidak banyak, tetapi dalam setiap bulan itu ada jugalah (rezeki) saya dapat berlakon.
“Saya sendiri boleh dikatakan setakat ini ada ‘job’. Cuma, memang terputus ‘job’ itu pernah juga berlaku, tetapi tidak lama. Tiga atau empat bulan itu adalah (tiada tawaran berlakon), kebanyakannya begitu.
“Tempoh itu (tiga atau empat bulan tiada kerja) perkara biasa, tetapi untuk saya pada waktu itu luar biasa juga,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran buku Sentuhan Emas Lagu-Lagu Tan Sri Dr Ahmad Nawab di Restoran Saloma, di sini, semalam.
Ditanya sama ada dia berasa ‘diboikot’ oleh produksi ketika kemelut berkenaan, Kazar menjelaskan dia tidak pernah beranggapan sebegitu kerana tidak ramai pun pelakon berusia lebih 60 tahun sepertinya.
“Tak ada rasa begitu (diboikot mana-mana produksi). Sebab, tak ramai pelakon umur macam saya. Apatah lagi untuk watak-watak yang nampak selalu saya bawakan seperti bercakap dialek Perak dan Negeri Sembilan.
“Apa pun, pihak produksi memang tak pernah nampak macam boikot, tetapi daripada stesen televisyen (TV), saya tidak tahu. Rasa saya, tak pernah ada masalah (dengan stesen TV). Ini semua rezeki daripada Allah,” katanya.
Mengulas juga pembabitannya bersama Ira yang didakwa akan menyertai program realiti TV, Kazar berkata, dia tidak mengetahuinya dan perlu meneliti konsep pertandingan dan bayaran diterima.
“Kena tengok konsep dan bayaran (program realiti) dulu. Tapi setakat ini soal bayaran lakonan yang saya terima, Alhamdulillah. Tak adalah teruk sangat dan kita pun faham, cuma janganlah sampai beri bayaran seperti (pelakon) ekstra sahaja.
“Sekurang-kurangnya, teliti juga kepakaran seseorang pelakon. Macam bayaran diterima oleh doktor pakar juga. Masalah di Malaysia ini, kepakaran pelakon senior tidak dibayar. Ambil atau tidak tawaran berlakon ditawarkan itu, bayaran tetap sama sahaja,” katanya. – HMetro Online –
IMedikel TV






