Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KOTA BHARU: Kira-kira 12 peserta terlibat dalam projek tanaman hidroponik menerusi inisiatif Program Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTi MADANI) di Kampung Sri Kulim, Melor, di sini sejak Mei tahun lepas.
Projek itu menerima peruntukan sebanyak RM100,000 bagi menjayakan model pertanian moden di kawasan luar bandar berkenaan.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Sri Kulim Melor, Badrul Hisham Yaacob berkata, sistem hidroponik yang digunakan beroperasi secara moden dengan aliran air selama 24 jam.

Menurutnya, kaedah itu hanya menggunakan air dan baja sekali gus dapat menjimatkan penggunaan racun serangga.
“Kita menanam pelbagai jenis sayuran seperti kangkung, salad, pak choy dan yang terbaru timun kecil yang boleh dituai dalam tempoh empat minggu sahaja,” katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.
Tambah beliau, kebanyakan peserta menjual hasil tanaman melalui platform media sosial seperti WhatsApp dan TikTok selain jualan terus kepada penduduk setempat dan pemborong.
Sementara itu, peserta projek, Che Hamid Che Omar, 66, berkata semua peserta bergotong-royong menggali dua telaga tiub dengan kos hampir RM2,000 bagi memastikan bekalan air mencukupi.
“Air dari telaga dipam ke dalam tangki sebelum mengalir ke paip dan injap automatik sepanjang 24 jam.
“Tugas kami adalah memantau paras air dan baja di dalam tangki setiap hari bagi memastikan tanaman sentiasa dalam keadaan baik,” katanya.
Menurutnya, projek tersebut amat berbaloi kerana mampu menampung pendapatan peserta yang terlibat.
Seorang lagi peserta, Zubaidah Yaakob berkata, tanaman hidroponik memerlukan kesabaran dan disiplin tinggi kerana perlu dipantau secara berterusan bagi mengelakkan tanaman mati.
“Nadi utama tanaman ini adalah air. Tanpa air, tanaman akan kering dan musnah jika tidak dipantau dengan baik,” katanya.
IMedikel TV






