Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Polis Kelantan sedang memburu dua suspek utama yang dipercayai terbabit dalam kes penculikan dua lelaki sebelum mangsa ditemui selamat selepas ditinggalkan di tepi jalan di Mundok, Thailand selepas diculik selama dua hari.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, pihaknya menerima laporan daripada isteri salah seorang mangsa pada 6 Jun lalu yang memaklumkan suaminya telah dilarikan oleh sekumpulan suspek dari rumah.
Menurut beliau, siasatan mendapati terdapat dua kes berasingan membabitkan dua mangsa lelaki berusia 51 dan 35 tahun yang diculik di Tumpat dan Pasir Mas.
“Selepas menerima maklumat, polis melancarkan operasi mengesan mangsa dengan bantuan pelbagai agensi termasuk pihak berkuasa berkaitan. Bagaimanapun, kedua-dua mangsa dipercayai telah dibawa masuk ke Thailand.
“Alhamdulillah, mangsa ditemui dalam keadaan selamat selepas ditinggalkan di tepi jalan sebelum diselamatkan pihak berkuasa Thailand dan diserahkan semula kepada pihak polis Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini, hari ini.
Mohd Yusoff berkata, dua individu yang dikenal pasti sebagai suspek utama ialah Hamzah Muhamad,40, dan Muhammad Samsul Azroy Che Anuar, 32, yang dipercayai masih berada di Thailand.
Katanya, polis telah mengedarkan maklumat kedua-dua suspek dan mendapatkan bantuan polisThailand bagi mengesan lokasi mereka.
“Kedua-dua suspek yang dikehendaki itu masing-masing mempunyai 10 rekod berkait kes jenayah dan dadah,” katanya.
Menurut beliau, siasatan mendapati salah seorang suspek dipercayai mengarahkan rakannya membakar sebuah kereta jenis Perodua Myvi yang digunakan dalam kejadian penculikan bagi menghapuskan bahan bukti.
“Kereta tersebut dibakar di kawasan Gelang Mas, Pasir Mas selepas suspek menyedari polis sedang menjalankan operasi mengesannya.
“Setakat ini lima individu termasuk seorang wanita telah ditahan bagi membantu siasatan dan kesemua mereka direman sehingga 22 Jun ini,”katanya.
Mengulas motif kejadian, Mohd Yusoff berkata, siasatan awal mendapati ia dipercayai mempunyai kaitan dengan hutang membabitkan aktiviti penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) dan sindiket dadah.
“Kedua-dua mangsa bukan individu yang mempunyai hutang berkenaan, sebaliknya dipercayai dijadikan cagaran kepada pihak yang gagal melunaskan hutang.
“Hutang itu dipercayai membabitkan individu lain iaitu saudara mereka, namun mangsa diambil sebagai cagaran kepada pihak yang berhutang,” katanya.
Beliau turut mendedahkan kedua-dua mangsa mempunyai rekod jenayah lampau, salah seorang mangsa berusia 51 tahun mempunyai 24 rekod jenayah dan narkotik.
IMedikel TV






