Home Buletin Semasa EMPAT KES CURI KABEL ECRL TUMPAS, DUA LELAKI DITAHAN

EMPAT KES CURI KABEL ECRL TUMPAS, DUA LELAKI DITAHAN

31
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: Polis Kelantan menumpaskan empat kes kecurian kabel membabitkan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di negeri ini dengan penahanan dua lelaki tempatan berusia lingkungan 30 an.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, kes kecurian kabel ECRL berlaku kerana sebahagian besar laluan projek itu masih belum beroperasi dan belum dialirkan bekalan elektrik, sekali gus membuka ruang kepada kegiatan jenayah berkenaan.

Menurut beliau, trend kecurian kabel ECRL sebelum ini banyak dilaporkan di Pahang dan Terengganu sebelum mula dikesan berlaku di Kelantan.

“Setakat tahun ini, kita merekodkan empat kes kecurian membabitkan ECRL dan semua kes berjaya diselesaikan susulan penahanan dua suspek pada bulan lalu.

“Kerugian bagi setiap kes dianggarkan hampir RM50,000, menjadikan jumlah keselurhan kerugian mencecah hampir RM200,000” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini. 

Mohd Yusoff berkata, kebanyakan kejadian berlaku di kawasan laluan ECRL di Pasir Puteh yang mempunyai jajaran projek lebih panjang berbanding lokasi lain di negeri ini.

Beliau menjelaskan, lokasi kabel yang melalui kawasan hutan dan pedalaman menyukarkan pemantauan berterusan, sekali gus menjadikannya sasaran penjenayah.

“Pihak kami sudah beberapa kali mengadakan perbincangan dengan pihak ECRL supaya meningkatkan tahap keselamatan termasuk pemasangan sistem kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi berisiko.

“Kita juga meminta semua ketua polis daerah yang mempunyai laluan ECRL seperti di Pasir Puteh dan Kota Bharu supaya mempertingkatkan rondaan di kawasan terbabit bagi mengelakkan kejadian berulang,” katanya.

Menurut beliau, siasatan mendapati suspek mengambil kesempatan ketika sistem elektrik di laluan berkenaan masih belum diaktifkan.

“Selagi kabel itu belum dialirkan arus elektrik, mereka berani mengambil risiko untuk mencurinya. Apabila sistem telah beroperasi dan mempunyai bekalan elektrik, risiko renjatan akan menjadi penghalang kepada kegiatan tersebut,” katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here