Home Buletin Semasa TEMA BUNGA CURI TUMPUAN PADA SUKANEKA PASTI TAWAU 2026

TEMA BUNGA CURI TUMPUAN PADA SUKANEKA PASTI TAWAU 2026

37
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

TAWAU: Sebanyak 27 kontinjen mengambil bahagian dalam Sukaneka Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Kawasan Tawau 2026 yang berlangsung meriah sempena sambutan Jubli Delima 40 Tahun PASTI Tawau, baru-baru ini.

Majlis perasmian program itu disempurnakan Pesuruhjaya PAS Negeri Sabah, Datuk Dr. Aliakbar Gulasa.

Dalam majlis tersebut, Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Tawau, Dr. Munzier Mahamud dalam ucapan aluannya menzahirkan harapan agar program seumpama itu terus menjadi platform membentuk generasi rabbani yang cerdas dari segi intelek, sihat jasmani serta unggul akhlaknya.

Sukaneka kali ini tampil dengan kelainan apabila setiap kontinjen mengetengahkan tema bunga dalam perbarisan yang berlangsung penuh warna-warni dan kreativiti.

Sebanyak 27 jenis bunga dipilih bagi mewakili 27 kontinjen yang mengambil bahagian, sekali gus menjadikan acara perbarisan antara tarikan utama program berkenaan.

Keunikan tema tersebut bukan sahaja menceriakan suasana, malah melambangkan perkembangan dan kecemerlangan generasi PASTI yang terus berkembang serta menyerlah dari semasa ke semasa.

Pelbagai hiasan dan rekaan kreatif bertemakan bunga dipersembahkan oleh peserta, mencerminkan semangat kerjasama, kreativiti serta komitmen guru, ibu bapa dan murid dalam menjayakan acara tahunan itu.

Program berkenaan turut menjadi medan mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan warga PASTI serta komuniti setempat di samping menyemarakkan sambutan Jubli Delima 40 Tahun PASTI Tawau.

Dengan slogan “Mekar Bunganya, Gemilang Generasinya”, penganjuran Sukaneka PASTI Kawasan Tawau 2026 diharap terus menjadi platform melahirkan generasi yang seimbang dari aspek pendidikan, sahsiah dan kecergasan fizikal. 

Sementara itu pertandingan perbarisan yang menjadi antara acara kemuncak Sukaneka PASTI Kawasan Tawau 2026 menyaksikan PASTI Nurul Jannah, Tanjung Batu Darat dinobatkan sebagai johan selepas berjaya menampilkan persembahan paling kreatif dan menarik bertepatan dengan tema bunga yang ditetapkan.

Tempat kedua dimenangi oleh PASTI Nurul Najah, Taman Megah Jaya manakala PASTI Nurul Nafeesa, Megah Jaya 9 meraih tempat ketiga.

Penganjur turut merakamkan penghargaan kepada semua kontinjen yang mengambil bahagian.

“Tahniah kepada semua kontinjen yang telah memeriahkan Perbarisan Sukaneka PASTI Kawasan Tawau 2026 dengan kreativiti, disiplin dan semangat yang luar biasa. Semoga terus cemerlang dan berjumpa lagi pada edisi akan datang,”katanya. 

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here