Home Buletin Semasa GOLDEN MELON PPKI SMK CHERANG RUKU BUKTI KEUPAYAAN MURID ISTIMEWA DALAM AGROPRENEUR

GOLDEN MELON PPKI SMK CHERANG RUKU BUKTI KEUPAYAAN MURID ISTIMEWA DALAM AGROPRENEUR

10
0

Oleh: Afrizam Arif@IMedikel TV

PASIR PUTEH:Projek penanaman Golden Melon yang diusahakan murid Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Cherang Ruku bukan sekadar menghasilkan buah berkualiti, malah menjadi medium melatih golongan berkeperluan khas menguasai kemahiran vokasional dan keusahawanan sebagai persediaan menghadapi alam pekerjaan.

Program berkonsepkan “Pick and Pay” itu memberi peluang kepada pengunjung memilih dan memetik sendiri kira-kira 400 biji buah Golden Melon segar terus dari ladang, sekali gus menarik kehadiran warga sekolah, ibu bapa serta komuniti setempat.

Ketua guru pembimbing Projek Tanaman Golden Melon, Nor Azman Zakaria berkata, projek agropreneur berkenaan bukan sekadar menghasilkan tanaman komersial, malah menjadi platform melatih murid berkeperluan khas menguasai kemahiran vokasional dan keusahawanan yang boleh dimanfaatkan selepas tamat persekolahan.

“Pelajar terbabit secara langsung dalam setiap peringkat pengurusan tanaman bermula daripada penyediaan tapak, penanaman, pembajaan, penjagaan pokok, kawalan perosak sehinggalah proses penuaian dan pemasaran hasil.

“Melalui projek ini, pelajar bukan sahaja mempelajari ilmu pertanian secara amali, tetapi turut didedahkan kepada kemahiran komunikasi, layanan pelanggan, promosi produk dan pengurusan kewangan asas,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Hari Terbuka Jualan Golden Melon di Taman Agrotani PPKI SMK Cherang Ruku, di sini, semalam.

Majlis dirasmikan Pengetuanya, Mohd Rozaki Bakar dan dihadiri Penolong Pegawai Daerah (PPD), Unit Pendidikan Khas Sektor Pembelajaran, Mohd Yusri Yusoff, Penolong Kanan Pendidikan Khas sekolah, Nordiana Nordin@Yaacob serta guru pembimbing projek, Mohd Ridzuan Abdul Aziz.

Sementara itu, Nordiana berkata pengalaman berinteraksi dengan pelanggan serta melihat hasil tanaman mereka mendapat sambutan masyarakat mampu meningkatkan keyakinan diri dan motivasi pelajar untuk terus berdikari pada masa depan.

“Projek ini bermula pada 2024 membuktikan pelajar berkeperluan khas juga mampu menghasilkan produk berkualiti menerusi tiga kali jualan serta menyumbang kepada aktiviti ekonomi jika diberikan peluang, bimbingan dan sokongan yang sesuai.

“Kejayaan projek berkenaan tidak diperoleh dengan mudah kerana guru dan pelajar perlu berdepan pelbagai cabaran termasuk faktor cuaca yang tidak menentu, serangan penyakit serta perosak tanaman selain perlu mengimbangi jadual pembelajaran dan aktiviti pertanian,” katanya.

Bagaimanapun, katanya kerjasama erat antara pihak sekolah, guru, ibu bapa dan komuniti setempat membolehkan tanaman Golden Melon musim ini ditanam pada 26 April lalu dengan baik sehingga berjaya menghasilkan buah yang berkualiti untuk dipasarkan sekarang.

Tambahnya, sambutan menggalakkan daripada masyarakat setempat turut menjadi bukti bahawa hasil pertanian yang diusahakan pelajar PPKI mendapat kepercayaan pengguna, malah ramai pengunjung hadir bagi memberi sokongan kepada usaha membangunkan potensi anak-anak istimewa itu.

Beliau berkata, projek berkenaan selaras dengan usaha Kementerian Pendidikan (KPM) untuk memperkasakan pendidikan berasaskan kemahiran dan kebolehpasaran murid berkeperluan khas melalui pengalaman pembelajaran dunia sebenar.

Katanya, pada masa hadapan, pihak sekolah bercadang memperluaskan program agropreneur dengan menambah keluasan kawasan tanaman serta meneroka tanaman komersial lain, selain menjalin kerjasama dengan agensi pertanian dan institusi berkaitan bagi melahirkan lebih penglibatan pelajar memiliki kemahiran vokasional serta keusahawanan untuk kehidupan yang lebih berdikari.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here