KUALA LUMPUR: Pendakwah bebas terkenal, Ustaz Muhammad Haris Mohd Ismail atau lebih dikenali sebagai PU Riz, tampil dengan satu inisiatif baharu berskala nasional menerusi pengenalan program Quranik Madani.
Ia adalah program kelas pengajian al-Quran percuma yang terbuka kepada masyarakat Islam di seluruh negara.
Menurut PU Riz, inisiatif ini lahir daripada keinginan untuk melihat lebih ramai umat Islam, khususnya generasi muda, bukan saja cemerlang dalam akademik malah menguasai bacaan al-Quran sebagai bekalan dunia dan akhirat.
Katanya, usaha ini berlandaskan sabda Nabi SAW yang menyatakan bahawa sebaik-baik manusia adalah mereka yang belajar al-Quran dan mengajarkannya.
“Tidak ada seorang pun dalam kalangan umat Islam di Malaysia yang tidak menyukai kebaikan ini. Jadi kita mulakan satu inisiatif untuk menghidupkan kembali budaya membaca dan memahami al-Quran,” katanya.
Melalui Quranik Madani, beliau memperkenalkan komponen utama termasuk program hafazan awal kanak-kanak seawal usia tiga hingga sembilan tahun bagi membina asas kukuh sejak kecil.
Selain itu, program ini menyasarkan golongan dewasa yang mempunyai kekangan masa dengan menawarkan kelas secara percuma agar tiada lapisan masyarakat yang tercicir.
Pada masa sama, Quranik Madani turut membuka ruang kepada golongan asatizah meningkatkan profesionalisme menerusi program Pensijilan Profesional dengan pengiktirafan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).
“Dengan pengiktirafan ini, mereka bukan saja boleh mengajar di peringkat komuniti, tetapi berpeluang melangkah ke peringkat global, insya-Allah,” kata Hariz juga suami kepada selebriti dan ahli perniagaan, Neelofa.
Tambahnya, program ini akan digerakkan secara inklusif dengan pendekatan turun padang ke pelbagai lokasi mengikut permintaan komuniti setempat. – HMetro Online –
IMedikel TV






