Home Luar Negara TIDAK PERCAYA ISRAEL, HIZBULLAH SIAP SEDIA JIKA DISERANG KETIKA GENCATAN SENJATA

TIDAK PERCAYA ISRAEL, HIZBULLAH SIAP SEDIA JIKA DISERANG KETIKA GENCATAN SENJATA

15
0

BEIRUT: Memetik laporan Bernama-Anadolu menerusi Harian Metro Setiausaha Agung Hizbullah, Naim Qassem pada Sabtu menegaskan bahawa kumpulan itu akan terus berada di lapangan dan bersedia membalas sebarang bentuk pencabulan oleh Israel terhadap perjanjian gencatan senjata, lapor Anadolu Ajansi.

Melalui satu kenyataan, Qassem berkata: “Pejuang penentang akan kekal di medan tempur, sentiasa bersiap sedia, dan akan bertindak balas terhadap serangan musuh mengikut keperluan.”

Beliau menegaskan gencatan senjata bermaksud penghentian sepenuhnya semua tindakan permusuhan. Tambah beliau lagi, Hizbullah tidak mempercayai Israel dan akan mengekalkan kesiapsiagaan di lokasi.

“Tiada istilah gencatan senjata hanya daripada satu pihak. Ia mestilah melibatkan kedua-dua pihak,” tegasnya.

Qassem turut menzahirkan penghargaan kepada Iran yang menyokong, membantu serta menghubungkan secara jelas gencatan senjata yang dicapai bersama Amerika Syarikat (AS) dalam rundingan di Pakistan dengan situasi di Lubnan.

Beliau mendakwa Washington telah ‘menentukan’ teks perjanjian gencatan senjata kepada kerajaan Lubnan, merujuk kepada kenyataan AS yang dikeluarkan sejurus gencatan bermula.

“Kenyataan itu tidak memberi sebarang makna secara praktikal, malah ia satu penghinaan terhadap negara kita,” katanya sambil berhujah bahawa kerajaan Lubnan tidak meluluskan teks itu secara rasmi.

Mengenai langkah seterusnya, Qassem menggariskan lima tuntutan utama, termasuk penghentian kekal serangan di seluruh Lubnan melalui udara, darat serta laut, selain pengunduran penuh tentera Israel dari kawasan yang diduduki sehingga ke sempadan.

Beliau menambah, tuntutan lain merangkumi pembebasan tahanan, kepulangan penduduk yang hilang tempat tinggal ke bandar serta kampung halaman masing-masing, dan usaha pembinaan semula dengan sokongan komuniti Arab dan antarabangsa.

Dari sudut politik, Qassem menyatakan Hizbullah terbuka untuk memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa Lubnan dalam kerangka perpaduan nasional dan kedaulatan negara.

Dalam pada itu, Presiden AS Donald Trump pada Jumaat memaklumkan Washington sedang aktif menghalang Israel daripada melakukan serangan tambahan ke atas Lubnan ketika gencatan senjata baru ini bermula.

Trump mengumumkan gencatan senjata selama 10 hari di Lubnan bermula tengah malam waktu tempatan di Tel Aviv dan Beirut pada Khamis.

Angka korban akibat serangan Israel di Lubnan sejak 2 Mac kini mencecah 2,294 nyawa, manakala 7,544 lagi mengalami kecederaan, menurut kenyataan Kementerian Kesihatan Lubnan pada Jumaat. – Bernama-Anadolu, HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here