Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
JOHOR BAHRU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Johor menahan 123 warga asing dalam satu serbuan di sebuah kilang plastik di sini, dalam Operasi Ops Mahir pada Jumaat lalu.
Pengarahnya Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus dalam kenyataan hari ini memaklumkan serbuan itu dilakukan kira-kira jam 7.00 petang membabitkan sepasukan pegawai penguatkuasa pelbagai pangkat dari Bahagian Penguatkuasa Negeri Johor bersama Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS).
“Dalam serbuan tersebut, pihak kami membongkar penggunaan besar-besaran pekerja asing tanpa pas yang sah, apabila seramai 123 warga asing ditahan.
“Mereka dipercayai bekerja tanpa kebenaran, gagal mengemukakan dokumen sah serta melanggar peruntukan Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
“Turut ditahan seorang warga tempatan iaitu pegawai sumber manusia kilang tersebut,”katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata pemeriksaan awal mendapati, seramai 123 orang warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen.
Katanya kesemua mereka terdiri daripada seorang lelaki dewasa warganegara Nepal, 45 lelaki dewasa warganegara Bangladesh, 23 lelaki dewasa warganegara Myanmar, tiga lelaki dewasa warganegara India, seorang lelaki dewasa warganegara Pakistan, 48 perempuan dewasa warganegara Myanmar, seorang perempuan dewasa warganegara Nepal dan seorang perempuan dewasa warganegara India.
Jelasnya kesemua PATI berumur dalam lingkungan 20 tahun hingga 48 ditahan disyaki telah melakukan kesalahan dibawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 serta ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika untuk siasatan dan tindakan lanjut.
Beliau berkata ketika operasi dijalankan, suasana menjadi kecoh apabila sebahagian pekerja cuba melarikan diri dan bersembunyi di beberapa lokasi tersembunyi dalam kawasan kilang.
Namun, jelasnya tindakan pantas anggota penguatkuasa berjaya menutup semua laluan keluar menamatkan cubaan meloloskan diri.
“Serbuan ini adalah hasil pemantauan intensif selama beberapa minggu, susulan maklumat dan aduan awam mengenai kegiatan majikan yang dipercayai menggajikan warga asing secara tidak sah bagi mengelakkan kos penggajian yang lebih tinggi,”jelasnya.
JIM Johor memberi amaran keras bahawa sebarang taktik untuk menyembunyikan pekerja asing tanpa izin tidak akan terlepas daripada radar penguatkuasaan.
“Operasi ini akan diteruskan dan diperhebat bagi mengekang penyalahgunaan pekerja asing serta memastikan kedaulatan undang-undang dipertahankan,”tegasnya.
IMedikel TV






