Home Buletin Semasa REMAJA TABAH HARUNGI OSTEOSARCOMA, KINI KEMBALI KE SEKOLAH

REMAJA TABAH HARUNGI OSTEOSARCOMA, KINI KEMBALI KE SEKOLAH

10
0

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

KOTA BHARU: Seorang remaja berusia 17 tahun membuktikan ketabahan luar biasa apabila berjaya mengharungi ujian menghidap kanser tulang jenis osteosarcoma sejak dua tahun lalu.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Dabong, Kuala Krai, Muhammad Adam Aizad Mazlan berkata, penyakit itu dikesan selepas dia mengalami kesakitan pada kaki susulan insiden terjatuh dari motosikal.

Menurutnya, pada awal kecederaan tersebut disangka tidak serius, namun keadaan menjadi semakin membimbangkan apabila dia mula berasa lemah, khususnya ketika solat.

“Saya pergi ke hospital dan menjalani pemeriksaan X-ray tetapi tidak menunjukkan sebarang masalah.

“Kemudian saya ke sebuah klinik di Kuala Krai dan melalui ujian imbasan ultrasound yang menunjukkan kawasan tulang paha sebelah kanan rosak akibat kanser,” katanya ketika ditemui pada program East Coast Sarcoma Symposium 2026 di HRPZ II, hari ini.

Katanya, susulan itu dia dirujuk ke hospital untuk menjalani imbasan lanjut sebelum menjalani dua kali biopsi.

“Biopsi pertama tidak menunjukkan kanser, tetapi pada biopsi kedua barulah disahkan saya menghidap osteosarcoma ketika berusia 15 tahun,” katanya.

Mengulas lanjut, Adam mengakui pada awalnya berasa sedih namun sokongan keluarga, rakan serta guru menjadi sumber kekuatan untuk terus menjalani rawatan.

“Sepanjang tempoh rawatan, saya menjalani kemoterapi selama sembilan bulan melibatkan beberapa kitaran rawatan selain terpaksa bergantung kepada kerusi roda kerana tidak mampu berjalan.

“Ketika itu, ibu saya juga sakit buah pinggang manakala ayah pula menghidap strok. keadaan itu menyukarkan kami untuk berulang-alik mendapatkan rawatan di hospital,” katanya.

Menurutnya, selepas tamat rawatan kemoterapi, dia menjalani pembedahan bagi membuang kanser serta menggantikan tulang yang terjejas menggunakan implan (endoprostesis) pada April tahun lalu.

“Pada awalnya doktor memaklumkan kemungkinan kaki saya terpaksa dipotong kerana kedudukan kanser yang hampir dengan salur darah utama.

“Namun selepas beberapa kitaran kemoterapi, keadaan bertambah baik dan pembedahan dapat dilakukan tanpa menjejaskan salur darah,” katanya.

Adam berkata, sepanjang menjalani rawatan, dia tidak dapat hadir ke sekolah bagi mengelakkan risiko jangkitan, namun pihak sekolah banyak membantu termasuk menyediakan bahan pembelajaran dan peperiksaan.

Kini, dia kembali ke sekolah dan mampu berjalan walaupun pergerakan lututnya masih terhad serta perlu berhati-hati dalam melakukan aktiviti harian.

“Saya masih belum boleh membengkokkan kaki sepenuhnya dan pergerakan agak terbatas, namun bersyukur kerana dapat berjalan semula,” katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here