KUALA LUMPUR: Memetik laporan menerusi Harian Metro pelakon Kamal Adli, 40, terus menarik perhatian netizen di media sosial dengan ucapan selamat hari jadi yang mengusik jiwa buat anak perempuannya, Hawra Uqaira, kini berusia dua tahun.
Menerusi kemaskini hantaran di platform media sosialnya seperti Threads dan Instagram (IG), Kamal didapati memuat naik video kompilasi yang memaparkan Hawra selepas dilahirkan hingga membesar seperti sekarang.
Lebih membuat segelintir netizen berasa sebak apabila Kamal tidak menutupi wajah bekas isterinya, Uqasha Senrose, 34, yang turut kelihatan di dalam video kompilasi itu.
“Simpan sini. Selamat ulang tahun kedua sayang. Maaf ayah tiada kat sini semasa hari jadi Hawra. Cari rezeki jauh sikit, Allah bagi. Ayah sayang awak sangat. Rindu awak.
“Maaf tahun ini, lain dari yang lain sikit dari tahun lepas. Tapi ayah doa Hawra jadi anak solehah, bijak dan sihat. Terima kasih ibu lahirkan dan jaga Hawra. Allah sahaja yang boleh balas,” tulisnya pada kapsyen hantaran video berkenaan.
Meninjau pada ruangan komen, rata-rata warga maya terharu dengan ucapan selamat hari jadi Kamal terhadap Hawra termasuk dia tetap tidak lupa sentiasa berterima kasih kepada Uqasha.
“Sebaknya tengok video dan caption. Semoga family ini dapat bersatu semula,” komen netizen.
“Susah nak jumpa lelaki yang dah bercerai berterima kasih kat ibu kepada anaknya sebab dah melahirkan,” kata seorang warganet.
“Ucapan ayah untuk Hawra. Tapi mesti tak lupa selit nama ibu di situ,” ujar pengguna media sosial.
“Dia selalu berterima kasih dekat Uqasha. Sebagai tanda menghargai sangat pada seorang ibu,” tulis seorang warga maya.
Menghormati Kamal dengan jolokan ‘Ketua Presiden’ Threads, tindakan positif dilakukan itu membuat netizen memahami bahawa meskipun sudah membawa haluan masing-masing tetapi sebagai ibu bapa harus sentiasa berbaik demi anak.
Terdahulu, Kamal dan Uqasha sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada 12 Januari lalu. – HMetro Online –
IMedikel TV






