Home Buletin Semasa 10 WARGA ASING DICEKUP PGA, BAYAR RM4,000 SEORANG UNTUK MASUK MALAYSIA

10 WARGA ASING DICEKUP PGA, BAYAR RM4,000 SEORANG UNTUK MASUK MALAYSIA

41
0

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

PASIR MAS: Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan 10 lelaki warga Myanmar yang baru tiba di negara ini menggunakan bot dalam serbuan Op Taring di kawasan hutan Kampung Tok Rusa, Meranti, kira-kira jam 7 malam, Ahad.

Komander Briged Tenggara, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, kemasukan warga asing itu diuruskan oleh ejen dengan bayaran sekitar RM4,000 seorang.

“Siasatan awal mendapati mereka memasuki negara ini menggunakan bot dengan bantuan tekong yang melakukan dua perjalanan, setiap satu membawa lima pendatang.

“Kesemua mereka didapati tidak memiliki dokumen perjalanan sah dan dipercayai masuk ke Malaysia dari Thailand melalui laluan tidak sah,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Beliau berkata, serbuan dilakukan hasil risikan sebelum pasukan bergerak ke lokasi dan menjalankan pemeriksaan di kawasan hutan berkenaan.

“Anggota mengesan kumpulan lelaki itu dalam keadaan mencurigakan sebelum pemeriksaan lanjut mengesahkan mereka gagal mengemukakan dokumen sah.

“Tiada sebarang rampasan dibuat dan kes dirujuk kepada Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas untuk tindakan lanjut,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here