Home Buletin Semasa KELUARGA BARU HANTAR SAMBUNG BELAJAR, TERIMA BERITA KEMATIAN

KELUARGA BARU HANTAR SAMBUNG BELAJAR, TERIMA BERITA KEMATIAN

9
0

Oleh: Afrizam Arif@IMedikel TV

KOTA BHARU: “Kami sekeluarga baru datang ke Kelantan pada Sabtu lepas bagi menghantar adik, Nurfisya Zulkifly, 19, memulakan semester baharu, namun hari ini (semalam) dikejutkan dengan berita tragis begini,” demikian kata abang mangsa, Mohd Faris Zulkifly, 21.

Baliau berkata, keluarga penuntut wanita yang maut dengan 61 kesan tikaman di Kampung Simah, Ketereh, dekat sini, masih sukar menerima hakikat kehilangan insan tersayang yang baru dihantar menyambung pengajian minggu lepas.

“Kami menerima panggilan daripada pihak polis kira-kira pukul 12.30 tengah hari memaklumkan adik telah meninggal dunia, namun kami tidak sanggup mendengar penjelasan lanjut ketika itu lalu menamatkan panggilan.

“Tanpa berlengah kami terus bertolak dari Kuala Kangsar, Perak ke Kelantan dan tiba di sini,” katanya ketika ditemui pemberita di Jabatan Forensik Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), malam tadi.

Menurutnya, keluarganya pada mulanya tidak mengetahui punca kematian dan hanya mengetahui mangsa ditikam selepas membaca laporan berita ketika dalam perjalanan di Jeli, petang tadi.

“Sebaik mendapat tahu kejadian sebenar, ibu dan bapa kami tidak mampu menahan kesedihan dan menangis tanpa henti kerana terlalu terkejut dengan kejadian itu.

“Tiada perubahan pelik ditunjukkan mangsa sebelum kejadian, namun ketika pulang bercuti ke Perak baru-baru ini arwah sempat menyatakan keinginan menikmati pelbagai makanan kegemaran termasuk ayam penyet,” katanya.

Katanya, arwah yang baru memasuki semester ketiga daripada tujuh semester pengajian juga pernah menyuarakan impian memiliki kereta Mini Cooper selepas tamat belajar dan mendapat pekerjaan.

Terdahulu media melaporkan mayat seorang wanita ditemukan dengan 61 kesan tikaman di atas jalan berhampiran kawasan sawah Kampung Simah, Ketereh di sini tengah malam semalam.

Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata mangsa yang berusia 19 tahun berasal dari Perak dan kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here