WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Jumaat berkata, beliau ‘tidak berpuas hati’ dengan cadangan rundingan baharu daripada Iran, ketika rundingan damai masih terhenti walaupun gencatan senjata sudah berlangsung selama beberapa minggu.
Memetik laporan AFP menerusi Harian Metro, Iran menyerahkan draf cadangan itu kepada perantara Pakistan, pada petang Khamis lalu berdasarkan laporan agensi berita IRNA, namun tidak mendedahkan butiran kandungannya.
“Pada ketika ini saya tidak berpuas hati dengan apa yang mereka tawarkan,” kata Trump kepada pemberita sambil menyalahkan kegagalan rundingan akibat perpecahan dalam kalangan kepimpinan Iran.
“Adakah kita mahu pergi dan ‘menghancurkan mereka habis-habisan’ serta menamatkan mereka selama-lamanya atau kita mahu cuba membuat perjanjian?” katanya lagi sambil menambah beliau lebih tidak memilih pilihan pertama atas dasar kemanusiaan.
Perang yang dilancarkan oleh AS dan Israel melalui serangan pada 28 Februari lalu sudah terhenti sejak 8 April, dengan hanya satu rundingan langsung yang gagal setakat ini.
Di Lubnan, Israel terus melancarkan serangan ke atas kumpulan Hizbullah walaupun gencatan senjata sejak 17 April.
Kementerian Kesihatan Lubnan berkata, 12 orang terbunuh dalam serangan di selatan negara itu termasuk di bandar Habboush, selepas tentera Israel mengeluarkan arahan pemindahan.
Agensi berita rasmi National News Agency melaporkan pesawat perang Israel melancarkan siri serangan kurang sejam selepas amaran dikeluarkan.
Sementara itu, Washington pada Jumaat mengumumkan bahawa ia meluluskan jualan senjata besar kepada sekutunya di Timur Tengah, termasuk perjanjian peluru berpandu Patriot bernilai AS$4 bilion (kira-kira RM15 bilion) kepada Qatar serta hampir AS$1 bilion (kira-kira RM3.9 bilion) kepada Israel.–AFP, HMetro Online-
IMedikel TV






