MANCHESTER: Pengurus Manchester United, Michael Carrick berharap Matheus Cunha sempat pulih untuk aksi berprofil tinggi menentang Liverpool di Old Trafford, esok.
Memetik laporan Reuters menerusi Harian Metro, perlawanan klasik itu hadir ketika kedua-dua pasukan memburu slot Liga Juara-Juara (UCL) musim depan.
United kini di tangga ketiga Liga Perdana Inggeris dan hanya memerlukan dua mata lagi untuk mengesahkan kedudukan lima terbaik, manakala Liverpool di tangga keempat turut memburu tempat ke Eropah.
Carrick memaklumkan Cunha sudah kembali menjalani latihan ringan selepas kecederaan fleksor pinggul.
“Kami berada dalam keadaan baik. Cunha sudah mula berlatih sedikit, jadi kami berharap dia sempat pulih.
“Untuk Luke Shaw, kami masih belum pasti, tetapi ada harapan. Matthijs de Ligt pula masih belum bersedia dan tidak akan beraksi,” katanya.
Kepulangan Cunha dilihat tepat pada masanya selepas dia terlepas kemenangan 2-1 ke atas Brentford, Isnin lalu.
Carrick menegaskan pertembungan United-Liverpool kekal istimewa tanpa mengira kedudukan liga.
“Ia sentiasa antara perlawanan kegemaran saya. Sejarah, emosi dan intensiti menjadikannya cukup istimewa,” katanya.
Sejak menggantikan Ruben Amorim di pertengahan musim, Carrick berjaya mengangkat prestasi United sehingga berada dalam kedudukan terbaik untuk layak ke UCL.
“Ia menunjukkan peningkatan pasukan. Kami semakin kuat dan datang ke perlawanan ini dengan momentum baik.
“Tetapi ini perlawanan berbeza. Kedudukan liga tidak banyak bermakna apabila sepak mula,” katanya.
Carrick turut mengembalikan peranan penting Kobbie Mainoo di bahagian tengah, selepas pemain muda itu menandatangani kontrak baharu lima tahun.
“Dia melambangkan kelab ini. Pemain muda dari akademi yang benar-benar memahami DNA pasukan dan memiliki bakat besar,” katanya.
United kini mengumpul 61 mata daripada 34 perlawanan, ketinggalan 12 mata di belakang pendahulu Arsenal, manakala Liverpool hanya tiga mata di belakang United dan berkongsi mata dengan Aston Villa di tangga kelima.-Reuters, Harian Metro-
IMedikel TV






